top of page

SANA laksana projek rintis modul panduan penjagaan pesakit terlantar, warga emas

  • nabalunews
  • Apr 28
  • 1 min read

28 April 2026


KOTA KINABALU: Persatuan Jururawat Sabah (SANA) memperluaskan inisiatif khidmat masyarakatnya menerusi pelaksanaan projek rintis modul Panduan Penjagaan Am Bagi Pesakit Terlantar dan Warga Emas untuk Penjaga.


Presidennya, Tumble Ngadiran berkata modul berkenaan bertujuan memberi bimbingan serta latihan praktikal kepada ahli keluarga dan penjaga yang menguruskan pesakit terlantar atau warga emas selepas discaj dari hospital.


"Modul ini menekankan elemen kesediaan mental dan fizikal penjaga, selain aspek teknikal seperti penjagaan kebersihan diri, pemakanan, serta keselamatan pesakit.


“Ia bukan sekadar teori, sebaliknya memerlukan latihan secara ‘hands-on’, khususnya dalam aspek pengendalian pesakit seperti teknik mengangkat dan mengubah posisi bagi mengelakkan komplikasi,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Isnin.


Menurutnya, kunjungan itu bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu persatuan selain mengemukakan cadangan berkaitan inisiatif latihan penjagaan di rumah.


Jelas Tumble, projek rintis berkenaan akan dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu dengan menyasarkan penjaga yang dikenal pasti memerlukan bantuan, termasuk mereka yang menguruskan warga emas yang mengalami demensia atau kecenderungan merayau.


“Latihan ini akan dikendalikan oleh tenaga pengajar dalam kalangan ahli SANA sendiri yang terdiri daripada jururawat berdaftar, termasuk pesara yang masih mengekalkan Sijil Pengamalan Tahunan (APC) melalui kursus peningkatan profesional berterusan.


“Tun Musa memberikan maklum balas positif terhadap inisiatif ini dan berharap komitmen berterusan dapat ditunjukkan, khususnya melibatkan sumbangan tenaga daripada jururawat pesara yang masih aktif,” katanya.


Setakat ini, SANA mempunyai lebih 10,000 ahli merangkumi jururawat dalam sektor awam dan swasta.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page