- nabalunews
Sasaran 1.2 juta tan setahun minyak masak terpakai dikumpul PETRONAS
3 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama PETRONAS melihat potensi untuk mengumpul sehingga 1.2 juta tan minyak masak terpakai bagi memenuhi industri hiliran berasaskan bahan berkenaan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata jumlah itu disasar dikumpul PETRONAS untuk tempoh setahun berdasarkan kuantiti penggunaan minyak masak yang besar di negara ini, khususnya minyak sawit.
Katanya, minyak masak terpakai kini dimanfaatkan untuk pelbagai industri hiliran termasuk bagi menghasilkan bahan api penerbangan mapan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) yang nilainya tiga kali ganda lebih tinggi berbanding bahan api biasa digunakan untuk industri penerbangan ketika ini.
"Secara kasar, kita berpotensi untuk mengumpul sehingga 1.2 juta tan di seluruh negara setahun dengan separuh daripadanya adalah untuk diproses bagi menghasilkan bahan api SAF.
"PETRONAS pun sudah merancang untuk membina loji pemprosesan minyak masak terpakai bagi menghasilkan SAF di Johor kerana potensi bahan api ini cukup baik berdasarkan piawaian penerbangan, selain bernilai tinggi.
"Dalam hal ini, KPK terbabit bersama PETRONAS bagi melaksanakan program pengumpulan minyak masak terpakai kerana kebanyakan minyak masak terpakai di negara ini adalah minyak sawit.
"Jadi, ini adalah satu industri hiliran berasaskan kelapa sawit selain biojisim, biodiesel dan lain-lain yang berada di bawah KPK," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen Minyak PETRONAS Jalan Lintas, di sini, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah; Ketua Setiausaha KPK, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Bahagian Strategi dan Kelestarian PETRONAS Dagangan Berhad, Harlina Pikri dan Ketua Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza A Wahab.
Â
Comments