Satu kluster baharu melibatkan Pusat penjagaan kebajikan di Tuaran
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Satu kluster baharu melibatkan Pusat penjagaan kebajikan di Tuaran


13 Mac 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Satu kluster baharu dicatatkan hari ini dalam kumpulan berisiko tinggi melibatkan pusat penjagaan kebajikan HOPE Village di Jalan Tamalang dikenali sebagai Kluster Jalan Tambalang - Tuaran. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks ialah seorang pelajar perempuan warganegara berumur 20 tahun yang sedang menjalani sesi praktikal di pusat itu dan tinggal di kuarters pekerja. “Kluster itu mula dikesan pada 05 Mac lalu melalui saringan. Pada hari ini, terdapat 40 kes baharu dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 60 kes positif COVID-19 hasil saringan terhadap 88 kontak rapat kepada kes indeks. “Aktiviti siasatan dan kawalan masih dijalankan di Hope Village. Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Masidi berkata, Kluster Institusi Pendidikan Jalan Getah di daerah Kunak ditamatkan hari ini. Secara keseluruhannya jumlah kes harian bagi Sabah hari ini ialah 845 kes, naik 49 kes berbanding semalam. Beliau berkata, pertambahan ini berpunca daripada jumlah jangkitan baharu yang meningkat di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran. “Kota Kinabalu mencatat 227 kes hari ini, tambahan 50 kes daripada catatan semalam dan Penampang pula kembali kepada tiga angka dengan 105 kes, naik 44 kes berbanding jumlah kelmarin. Kota Kinabalu dan Penampang merupakan dua daerah yang mencatat kes baharu tiga angka. “Papar yang mencatat 102 kes kelmarin merekodkan hanya 82 kes baharu hari ini. Manakala Tuaran yang mencatat 57 kes kelmarin menambah 24 kes hari ini kepada 81 kes,” katanya. Masidi berkata, Telupid merupakan satu-satunya daerah di Sabah yang tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini. Katanya lagi, walaupun jumlah jangkitan harian semakin stabil tetapi peratusan jangkitan sporadik masih tinggi, hampir 61 peratus daripada kes keseluruhan hari ini. “Risiko dan ancaman penularan virus dengan cepat dan meluas tetap ada. Semua lapisan masyarakat perlu mematuhi semua SOP setiap masa,” katanya. Masidi berkata, seramai 831 atau 98.35 peratus daripada 845 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, lima orang dalam Kategori 3, lapan orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page