Saya tawarkan rekod saya di Kadamaian untuk pemilihan parti - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Saya tawarkan rekod saya di Kadamaian untuk pemilihan parti - Ewon


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

16 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA BELUD: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedik bersedia menawarkan rekod kepimpinan dan perkhidmatan beliau di Kadamaian kepada ahli-ahli parti apabila membuat keputusan untuk memilih pimpinan parti tersebut.


“Saya tidak mencabar kepimpinan sesiapa, tetapi saya ingin menawarkan rekod kepimpinan saya di Kadamaian kepada ahli-ahli parti.



“Sekiranya mereka merasakan rekod ini boleh diangkat menjadi inspirasi baharu kepada parti, dan jika mereka merasakan masanya sudah tiba, saya bersedia mengambil cabaran tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Kota Belud yang bersidang di Dewan Kadamaian Square, Taginambur di sini, hari ini.


Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin.



“Banyak spekulasi mengatakan saya ada pengumuman pada hari ini. Maka terpulanglah kepada ahli-ahli parti, khususnya Bahagian-Bahagian UPKO untuk menterjemahkan kenyataan saya hari ini.


“Saya bersedia menyahut cabaran sekiranya Bahagian-Bahagian mahu saya menerajui parti ini,” katanya.


Katanya lagi, konsultan terbaik adalah ahli-ahli parti, maka beliau mengajak pimpinan UPKO untuk mendengar pandangan dan teguran ahli-ahli parti dan juga rakyat.


“Jika majoriti ahli parti mahukan penjenamaan parti dipakejkan dengan transisi kepimpinan, maka kita harus peka dan ambil tindakan progresif berkaitannya.



“Kita tidak boleh bertanding dalam pilihanraya jika ahli-ahli parti di Bahagian berpecah dan meninggalkan parti. Kita tidak akan dapat bersaing dengan blok politik kerajaan jika kita tidak dapat berupaya mencetuskan inspirasi baharu yang dapat membina semula sokongan kepada parti ini,” katanya.


Ewon berkata, kenyataan tersebut sudah cukup jelas untuk diterjemahkan oleh ahli-ahli UPKO semasa pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini.


Sebelum ini, beberapa media melaporkan pertandingan jawatan Presiden UPKO akan melihat pertandingan di antara penyandang sekarang Datuk Madius Tangau dengan Ewon.

bottom of page