top of page
Wartawan Nabalu News

Saya tidak akan tarik saman 40% biarpun Pakatan Harapan jadi Kerajaan Persekutuan - Ewon


Ewon pada program bertemu rakyat di Penampang.

8 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, saman terhadap kerajaan persekutuan berkaitan 40 peratus hasil Sabah yang difailkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) tidak akan ditarik balik walaupun PH berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Calon PH bagi Kerusi Parlimen Penampang itu menegaskan, sebaliknya beliau akan menggunakan kedudukannya sebagai antara seorang daripada empat pemimpin utama Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menuntut hak Sabah itu.


“Kita tidak akan tarik balik saman yang kita failkan di Mahkamah pada 3 Jun 2022, biarpun Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri selepas PH membentuk kerajaan persekutuan.



Ewon ketika ditemui pemberita pada progam itu.

“Sebaliknya saya akan menggunakan kedudukan saya sebagai satu daripada empat pemimpin utama iaitu Anwar (Presiden PKR), Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP), Mohammad Sabu (Presiden Amanah) dan saya (Presiden UPKO) untuk meminta, menuntut dan akan melaksanakan tuntutan 40 peratus dan perjanjian Malaysia yang telahpun dimasukkan dalam Tawaran Pakatan Harapan kepada rakyat Malaysia, Sabah dan Penampang pada pilihan raya umum kali ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program bertemu rakyat di Food Court Jia Hua, Bundusan, di sini, hari ini.


Mengenai perkembangan saman yang difailkan, Ewon berkata, kerajaan sebelum ini telah memfailkan afidavit mereka bagi membatalkan saman itu dengan menyatakan bahawa semua wakil rakyat PH Sabah yang memfailkan saman berkenaan tidak mempunyai locus standi.


“Tetapi kami juga akan mengemukakan afidavit untuk membalas afidavit kerajaan itu dan selepas itu kita akan tunggu keputusan mahkamah.


“Bagaimanapun, saya yakin keputusan akan berpihak kepada kami kerana ianya (hak Sabah) jelas ada dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Pada 3 Jun 2022, kesemua 13 wakil rakyat (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) PH Sabah telah memfailkan tindakan undang-undang memohon pengisytiharan 40 peratus hak Sabah.


Ewon ketika berucap pada program itu.

Mereka memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu untuk memohon pengisytiharan antara lain bahawa Sabah berhak keatas 40 peratus hasil bersih yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah setiap tahun untuk dihormati dan dipatuhi.


Enam Ahli Parlimen dan tujuh Adun Sabah masing-masing telah memulakan tindakan sebagai Plaintif dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai Defendan Pertama dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai Defendan Kedua.


Turut hadir Calon Pakatan Harapan Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang dan para pemimpin PH Penampang.

Comments


bottom of page