Sekolah daif di Sabah, Sarawak akan dinaiktaraf – PM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sekolah daif di Sabah, Sarawak akan dinaiktaraf – PM

24 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak bakal dinaiktaraf menerusi belanjawan 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Jelas Anwar, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion tahun 2022.


Katanya, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah.


“Ini meliputi peruntukan RM920 juta untuk naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

“Selain itu, peruntukan RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bagi kerja seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama dan kelas yang telah uzur,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak RM560 juta termasuk SK Paya Dusun, Terengganu, SMK Denai Alam, Selangor, SMK Nabalu, Sabah dan SMK Dudong, Sarawak.


Selain itu, sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Anwar berkata, kerajaan juga akan membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan untuk anak-anak berhimpun.

“Bagi menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid-murid, kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah ditambah daripada RM625 juta kepada RM777 juta tahun ini yang memanfaatkan 700,000 murid.

“Sebagai tambahan, peruntukan untuk Program Makanan Prasekolah Kementerian Pendidikan ditingkatkan daripada RM89 juta kepada RM108 juta bagi memberi manfaat kepada lebih 240,000 murid prasekolah KPM," katanya.

Beliau berkata, selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran, kerajaan akan membekalkan sebanyak 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan KPM .

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page