top of page

Undang-Undang AI: Laporan Penuh Dijangka Siap Hujung Jun - Gobind

  • nabalunews
  • Jun 3, 2025
  • 1 min read

3 Jun 2025


KUALA LUMPUR: Laporan penuh berkaitan cadangan kawal selia dan kemungkinan penggubalan undang-undang khusus bagi kecerdasan buatan (AI), dijangka diperoleh menjelang hujung bulan ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.


Beliau berkata laporan itu sedang dimuktamadkan oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang telah ditubuhkan Kementerian Digital tahun lepas.


Gobind berkata laporan itu, akan menjadi asas kepada perbincangan lanjut berhubung pendekatan kawal selia terbaik, iaitu sama ada melalui penggubalan undang-undang, pewujudan peraturan atau pengenalan standard piawai.


“Perbincangan sedang dijalankan dengan industri dan beberapa pandangan telah dikemukakan. Saya harap, menjelang akhir Jun ini, kita akan dapat satu laporan daripada NAIO yang akan membantu menentukan hala tuju yang sesuai bagi bidang AI,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Pembangunan Keupayaan Profesional Keselamatan Siber di sini, hari ini.


Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Presiden EC-Council Sanjay Bavisi.


Gobind berkata segala keputusan dasar akan berpaksikan kepada keperluan memastikan wujudnya tadbir urus AI yang baik dan keyakinan rakyat terhadap penggunaan teknologi digital.


“Dalam arus transformasi digital ini, risiko tetap wujud, jadi kita perlu teliti bentuk tindakan yang sesuai untuk memastikan wujudnya keyakinan apabila rakyat menggunakan platform digital,” katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan kawal selia juga perlu mengambil kira keunikan setiap sektor yang terlibat dengan AI, termasuk risiko yang timbul memandangkan ia merentasi semua sektor.– BERNAMA

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page