Sektor pelancongan kekal keutamaan perkukuh ekonomi negara
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 2 min read

14 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan kekal menjadi antara keutamaan kerajaan dalam usaha memperkukuh ekonomi negara terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata fokus kerajaan bukan hanya memastikan sasaran pendapatan RM329 bilion tercapai, tetapi juga memastikan rakyat dapat menikmati kesan limpahan ekonomi hasil penganjuran TMM2026.
“Pelancongan ini antara keutamaan kita, dari segi keupayaan bukan sahaja untuk mendapat hasil, tetapi juga mewujudkan pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat.
“Kita juga nak pastikan pelancongan ini dapat memberi manfaat kepada semua daerah, termasuk di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain di Semenanjung,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta kerajaan menyatakan tahap persediaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dari segi promosi antarabangsa, pembabitan kerajaan negeri dan perbelanjaan.
Anwar berkata, kerajaan optimis sasaran pendapatan TMM2026 boleh dicapai dengan kempen promosi yang lebih besar yang giat dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Bagi tahun 2024, kita menerima 38 juta pelancong dan hasilnya memberangsangkan. Dengan promosi lebih besar dan berkesan, pendapatan negara dijangka meningkat jauh lebih tinggi,” ujarnya.
Menurutnya, MOTAC turut mengadalan libat urus dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan, hotel dan restoran bagi bagi memperkukuh strategi promosi.
Dalam pada itu, katanya, promosi TMM 2026 tidak lagi memerlukan penyertaan rombongan besar ke luar negara, sebaliknya boleh digiatkan menerusi platform digital.
“Pendekatan baharu ini seiring dengan perkembangan semasa di mana 70 peratus usaha promosi kini dijalankan secara digital, manakala 30 peratus melalui kaedah konvensional,” jelasnya.
Perdana Menteri turut menekankan keperluan meningkatkan jumlah penerbangan antarabangsa yang merosot selepas pandemik COVID-19.
Sementara itu, Anwar turut mengakui pengukuhan ringgit memberi kesan sampingan apabila semakin ramai rakyat memilih untuk melancong ke luar negara, terutama ke Thailand, Jepun dan Indonesia.
Bagi menggalakkan pelancongan domestik, katanya kerajaan memperkenalkan pengecualian cukai sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan dalam negara.