PM: Pembangunan negara perlu seimbang kemajuan fizikal, kesejahteraan rakyat
- nabalunews
- Oct 13
- 1 min read

13 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan setiap pembangunan di negara ini dirancang dan dilaksanakan secara seimbang antara kemajuan fizikal dengan kesejahteraan insan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ditegaskan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-49 hari ini.
“Saya tegaskan bahawa setiap kelulusan pembangunan baharu mesti berpaksikan nilai kemanusiaan, sama ada projek berasaskan bandar pintar, kecanggihan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Bandar pintar bukan sekadar binaan megah atau sistem canggih, tetapi cerminan bagaimana kemajuan dapat mengangkat kesejahteraan hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di X.
Justeru katanya, masalah asas rakyat seperti lif usang di perumahan awam, gerai uzur serta kemudahan awam yang daif tidak boleh diabaikan dalam proses pembangunan negara.
“Kejayaan pembangunan bukan diukur pada menara yang menjulang, tetapi pada sejauh mana rakyat kita hidup dengan selesa, sejahtera dan bermaruah,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menyeru kerajaan negeri memberi perhatian kepada pemuliharaan warisan dan budaya, khususnya di kawasan bandar lama dan lokasi bersejarah, agar pembangunan moden tidak mengorbankan jati diri negara.
Katanya, seni bina tempatan serta nilai warisan bangsa perlu dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia yang harus terus dikekalkan.
Menurut beliau, hasil mesyuarat itu akan menjadi panduan kepada agensi perancang dan pihak berkuasa tempatan dalam merangka dasar serta meluluskan projek pada masa hadapan, supaya pembangunan negara terus berpaksikan keseimbangan antara fizikal, teknologi dan kemanusiaan.


















Comments