- nabalunews
SEKURANG-KURANGNYA 59 TERBUNUH, 129 CEDERA DALAM TUNJUK PERASAAN DI MYANMAR PADA AHAD

16 Mac 2021
MOSCOW: Pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di Myanmar pada Ahad menyebabkan sekurang-kurangnya 59 terbunuh dan 129 cedera menurut data hospital, lapor Sputnik memetik agensi berita Myanmar Now, kelmarin.
Data itu diperoleh dari Hospital Besar Yangon, Hlaing Tharyar dan Thingangyun Sanpya, doktor dan pekerja penyelamat menjangkakan jumlahnya adalah lebih tinggi.
Tunjuk perasaan terbesar dilaporkan di Yangon, Mandalay, Bago dan Hpakan. Berikutan tunjuk perasaan pada Ahad malam itu, undang-undang tentera dikuatkuasakan di dua bandar industri Yangon, Hlaing Tharyar dan Shwepyitha.
Meskipun berlaku kematian, protes tetap diteruskan di Mandalay dan Yangon sehingga pagi Isnin.
Tunjuk perasaan itu sudah memasuki minggu keenam menyaksikan jumlah kematian melebihi 100 orang sejak protes tercetus awal Februari. - Bernama