top of page

Selamat dan Sihat: Asas kesejahteraan Kumpulan Yayasab Sabah

  • nabalunews
  • Sep 14, 2024
  • 2 min read

14 September 2024


KOTA KINABALU: Dalam langkah signifikan untuk memupuk budaya tempat kerja yang selamat dan sejahtera, Kumpulan Yayasan Sabah melancarkan Bulan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang bertemakan 'Selamat dan Sihat, Tanggungjawab Bersama' di Menara Tun Mustapha, di sini, semalam.


Program ini akan berlangsung dari bulan September hingga Oktober dengan pelbagai aktiviti menarik yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan.


Antara aktiviti yang dirancang termasuk ceramah oleh pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.


Dalam ucapannya, Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata sebagai sebuah organisasi besar, Kumpulan Yayasan Sabah menghadapi pelbagai cabaran dalam memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangannya sentiasa berada pada tahap yang terbaik.


Katanya program ini adalah tepat pada masanya untuk memperbaharui tekad

Kumpulan Yayasan Sabah dalam memperkukuhkan aspek ini.


Gulamhaidar menegaskan bahawa program ini tidak hanya memfokuskan pada pematuhan undang-undang dan peraturan, tetapi juga memberikan penekanan kepada kesejahteraan pekerja secara menyeluruh, termasuk aspek fizikal, mental, dan emosi.


“Dalam usaha Kumpulan Yayasan Sabah untuk memastikan kewajipannya terhadap keselamatan dan kesihatan staf terlaksana, khususnya dalam menyediakan tempat kerja yang selamat bagi staf dan orang awam yang berkunjung ke premis Kumpulan Yayasan Sabah, maka setakat bulan Ogos ini, Kumpulan Yayasan Sabah telah melaksanakan sebanyak 32 daripada 48 pemeriksaan tempat kerja di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti,” ujar beliau.


“Pada masa yang sama, kita juga telah melaksanakan sebanyak 13 daripada 18 Audit Dalaman dan Pemantauan Audit Dalaman Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke atas Bahagian/Zon/Unit bagi tahun 2024. Tindakan ke atas laporan-laporan hazard yang diterima melalui Sistem Pelaporan Kod QR juga telah diambil,” kata Gulamhaidar.


“Bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, Kumpulan Yayasan Sabah juga telah melantik Pegawai Perhubungan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sejak tahun 2022 dari setiap Bahagian/Zon/Unit sebagai wakil untuk membantu Seksyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP)," katanya.


Langkah itu bagi meningkatkan lagi pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam organisasi ini.


Katanya setakat ini, daripada 47 Pegawai Perhubungan KKP yang ada, seramai 41 orang telah diberi latihan dan mendapat sijil kompeten sebagai OSH Coordinator.


“Sebagai sebuah organisasi yang berhasrat untuk terus berkembang maju, Kumpulan Yayasan Sabah komited untuk memastikan organisasi ini bukan sahaja kekal berdaya saing, tetapi juga meletakkan kesejahteraan setiap anggota sebagai keutamaan,” kata Gulamhaidar.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page