- nabalunews
Selepas empat hari hilang, 2 mayat ditemukan di perairan Semporna
10 Ogos 2024
SEMPORNA Dua mayat penumpang warga Filipina yang sebelum ini hilang selepas insiden pelanggaran bot di Pulau Sebangkat ditemukan terapung di perairan laut Bohey Dulang, di sini, petang tadi.
Pemangku Ketua Polis Derah Semporna, Deputi Superintenden (DSP), Fauzi Abd Kadir berkata pihaknya telah menerima satu laporan berkenaan penemuan itu pada 1.15 petang.
“Mayat ditemui oleh sepasukan Komando VAT69 yang sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan tersebut. kedua-dua mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kedua-dua mayat yang dijumpai tersebut adalah mayat mangsa yang hilang akibat pelanggaran dua buah bot yang berlaku pada Selasa lalu di perairan laut Pulau Sebangkat, Semporna,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Fauzi, kedua-dua mayat masing-masing adalah lelaki berumur 20an dan siasatan mengenainya masih dijalankan di bawah Seksyen 280/304A Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak viralkan isu-isu yang belum disemak kesahihan di media sosial yang mana ianya boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran di kalangan masyarakat tempatan,” katanya.
Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaporkan dalam kejadian kira–kira jam 6 pagi Selasa lalu itu, dua penumpang warga Filipina dikhuatiri lemas apabila bot yang mereka naiki dilanggar oleh sebuah bot lain di Perairan Pulau Sebangkat, Semporna
コメント