Selesaikan masalah jalan raya di Sabah sepantas isu ‘emas’ di Pitas: Netizen
13 Nov 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah terutamanya di kawasan luar bandar mahu kerajaan bertindak pantas menyelesaikan masalah jalan raya, elektrik, air dan internet di kawasan mereka seperti mana kerajaan bertindak pantas menyelesaikan isu penemuan ‘emas’ di Kampung Bongkol Pitas.
Seorang penduduk dari Kampung Kuyungon Tambunan berharap kerajaan memberi perhatian segera terhadap masalah jalan raya di kampung mereka seperti tindakan pantas menyelesaikan isu ‘emas’ di Pitas.
“Betapa baiknya jika kerajaan dapat mengambil tindakan pantas mengatasi masalah jalan raya di kampung seperti mereka menyelesaikan isu viral 'emas' di pitas,” katanya kepada Nabalu News.
Seorang lagi penduduk di Pitas mendakwa, masalah jalan raya di daerah itu telah berlarutan sejak puluhan tahun namun sehingga kini tidak mendapat perhatian.
“Kalau pasal emas ‘sekelip mata’ saja mereka sampai tetapi pasal kerosakan jalan raya, masalah air dan sebagainya tidak pula dipedulikan,” katanya membandingkan penemuan ‘emas’ di kampung itu yang mendapat perhatian segera pihak kerajaan selepas diviralkan.
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah mengesahkan bahawa ‘emas’ yang ditemui di sebuah kampung di Pitas sebenarnya bukan emas tetapi mineral yang dikenali sebagai ‘pyrite’ atau ‘Fools Gold’.
Sebelum ini tular di media sosial penduduk kampung menemui batu seakan-akan 'emas' di kawasan pembinaan jalan berhampiran kampung Bongkol Pitas.
Ekoran isu itu, ramai netizen menjadikan isu itu sebagai bahan jenaka dengan mengeluarkan pelbagai komen sindiran.
“Sini DUN Tulid pun banyak emas ni, cuma kami tidak tahu cara melombong, harap kerajaan pusat bantu kami.
“Di Bongawan pun sampai tiada air sebab banyak ketulan emas masuk dalam saluran paip, kerajaan tidak mau tolong kami?.
“Emas cepat pula bertindak, tapi masalah jalan raya sampai bertahun-tahun terbiar,” antara komen pedas netizen.
Seorang lagi penduduk Kg.Kituwo Pitas Justin Enin merayu agar kerajaan membaiki jalan raya di kampungnya.
“Dari zaman nenek moyang lagi kami tidak pernah merasai jalan raya yang senang dilalui. Kalau hujan kami terpaksa mengharungi jalan yang berlumpur.
“Kami sudah berkali-kali membuat permohonan supaya jalan raya ini ditabur batu tetapi hanya ‘grading’ sahaja yang dilakukan (jalan diratakan).
“Oleh itu saya mohon pihak berwajib dapat meninjau seterusnya membantu menyelesaikan masalah kami kerana ia merupakan perhubungan utama penduduk kampung mendapatkan barangan makanan di Pitas atau Kota Marudu,” katanya.
Sementara itu Berdasarkan kajian JMG Sabah sebelum ini, daerah Pitas termasuk Kampung Bongkol tiada pemineralan logam berpotensi sumber emas.
Menurut kenyataan media JMG , melalui rekod pengkaji mineral yang terdahulu, tiada dijumpai sebarang pemineralan logam yang berpotensi di kawasan berkenaan.
“Penemuan mineral serupa emas seperti dalam dakwaan penduduk kampung, sebenarnya adalah mineral sulfida iaitu pirit yang sering digelar “Fool’s Gold” dan lazimnya terbentuk dalam pelbagai jenis batuan,” katanya.
Dakwaan kewujudan emas pada singkapan jalan raya yang sedang dibaiki di Kampung Bongkol, Pitas dalam media sosial Whatsapp dan Facebook menjadi isu hangat di daerah ini sejak 7 November lalu.
Sehubungan itu, JMG Sabah telah menghantar sepasukan kakitangan jabatan ke lokasi tersebut untuk mengesahkan dakwaan tersebut pada 11 November.
Menurut kenyataan itu, kawasan itu umumnya terdiri daripada batuan Formasi Kudat yang mana dicirikan oleh kehadiran blok-blok batu pasir, syal merah dan syal kelabu dalam matriks yang terdiri daripada serpihan batuan halus.
“Siasatan di lapangan menunjukkan kehadiran batu pasir yang telah mengalami sedikit proses metamorfisme iaitu batuan tersebut mengalami perubahan komposisi mineral, bentuk dan tekstur akibat tekanan dan haba yang tinggi.
“Batu pasir itu juga mengandungi telerang kuarza (quartz vein) yang tidak menunjukkan kehadiran mineral emas,” katanya.
Comments