top of page
  • nabalunews

Semua badan penguat kuasa perlu diselaras tangani samseng seludup – PM

23 Ogos 2024


PUTRAJAYA: Semua badan penguat kuasa perlu diselaras dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan ketirisan yang mengakibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit kepada negara.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agak mustahil jenayah yang disifatkan beliau sebagai sistemik dan berlaku puluhan tahun itu dapat diselesaikan oleh hanya satu badan penguat kuasa.


“Membanteras mereka (penjenayah) bukan mudah, saya akui sebab itu saya hormat saudara, (Jabatan) Imigresen, Kastam dan lain-lain yang dibebankan dengan tugas itu kerana kelompok ini juga kadang-kadang dalam kalangan samseng terkenal dan kuat dengan pengaruh, senjata dan ugutan.


“Sebab itu dalam semua langkah ini, kita telah minta supaya penyelarasan penguat kuasa KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), Polis Diraja Malaysia, (Jabatan) Imigresen dan Kastam sentiasa harus ada penyelarasan berkesan,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Penguat Kuasa KPDN dan Peluncuran Portal Ihsan MADANI, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.


Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.


Mengulas lanjut, Perdana Menteri meminta Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam bersama barisan pengurusan kementerian untuk menyuarakan permasalahan ketika aktiviti penguatkuasaan kepada Mohd Sayuthi dan Armizan, sebelum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diselesaikan.

Comments


bottom of page