top of page
nabalunews

Senarai nama calon TYT Sabah dihantar kepada Agong dalam masa terdekat - Hajiji



Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin (tengah) bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua dari kiri) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor (kiri sekali) sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-71 Yang Dipertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu pada 5 Oktober lalu

27 November 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan mengemukakan senarai nama yang dicalonkan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan, dalam masa terdekat.


Ia berikutan tempoh Yang di-Pertua Negeri sekarang, Tun Juhar Mahiruddin dijadual tamat pada 31 Disember ini selepas perkhidmatannya disambung dua tahun sejak 1 Januari 2023.


Bagaimanapun, Hajiji berkata, berkata pelantikan Yang di-Pertua Negeri terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong manakala kerajaan negeri hanya mencadangkan nama yang difikirkan layak.


"Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri.

Saya akan hantar nanti dalam masa yang terdekat," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.


Beliau ditanya sama ada kerajaan negeri sudah menghantar senarai nama calon TYT untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Hajiji bagaimanapun enggan mendedahkan nama bakal calon TYT yang akan dihantar kerajaan negeri.


Pada 23 Disember 2022, Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Lantikan penggal keempat bagi Tun Juhar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah itu berkuat kuasa dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun dan paling lama sejak dilantik pada 1 Januari 2011.


Ia selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Warisan (WARISAN) pada 2018 berhubung tempoh penggal perkhidmatan TYT.


Sebelum 2018, seseorang TYT bagi negeri Sabah hanya dibolehkan berkhidmat sehingga dua penggal atau lapan tahun, namun dengan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri, tiada lagi had tempoh perkhidmatan ditetapkan.


Tun Juhar juga boleh dilantik semula sebagai TYT selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada akhir tahun ini, kecuali beliau membuat keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan.


Media sebelum ini melaporkan spekulasi tiga nama yang disebut-sebut mempunyai kelebihan untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.


Mereka ialah dua bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta bekas Speaker Dewan Rakyat yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Comments


bottom of page