top of page

Sentiasa Semak Ketulenan Akaun, Kandungan Media Sosial - Fahmi

  • nabalunews
  • Oct 7, 2024
  • 2 min read


7 Oktober 2024


KANGAR : Rakyat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan sebarang hantaran yang dimuat naik melalui platform media sosial bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan atau terpedaya dengan niat jahat pihak yang tidak bertanggungjawab.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa setiap individu perlu bertindak dengan lebih berhati-hati dan mengesahkan pemilik sesebuah akaun sebelum mempercayai maklumat yang dikongsikan.


Langkah pengesahan ini penting bagi memastikan akaun tersebut benar-benar milik individu yang sah dan kandungan yang disampaikan adalah tepat dan boleh dipercayai.


Menurutnya lagi, penyebaran maklumat palsu boleh mendatangkan implikasi buruk kepada masyarakat dan menjejaskan keharmonian awam.


Oleh itu, beliau menggesa orang ramai agar sentiasa menyemak fakta dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan, terutama yang tular di media sosial.


Ini kerana, tindakan yang cuai dalam menilai sesuatu maklumat boleh menyebabkan masyarakat terperangkap dalam muslihat pihak yang berniat jahat.


“Kita lihat ada penyalahgunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk melakukan AI ‘deepfakes’ (imej palsu)… seolah-olah (isteri Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau pun (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercakap atau pun mana-mana pimpinan yang lain, atau pun juga kita punya penyanyi tersohor seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.


“Jadi kita kena sahkan dulu akaun tu milik siapa? Betul ke akaun itu adalah akaun yang rasmi atau pun ia akaun palsu, akaun impersonator (penghibur pengajuk),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kita MADANI Peringkat Perlis di sini, semalam.


Beliau turut mengingatkan pengguna supaya tidak mudah percaya dengan sesuatu kandungan menerusi media sosial kerana ia mungkin kandungan lama yang disebarkan semula atau yang telah disunting dan tidak menggambarkan konteks sebenar.


Fahmi berkata seringkali tersebar kandungan berbentuk video yang disunting pihak tidak bertanggungjawab yang berniat ‘menangguk di air keruh’ atau bertujuan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat.


Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk meneliti struktur Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) untuk dilakukan penyelarasan.


“Penyelarasan itu dari sudut perjawatan, dari segi organisasi. Kita berhasrat untuk memindahkan secara fizikal pejabat JKOM balik ke kementerian, maksudnya fungsinya kita akan teliti semula,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pelantikan Ketua Pengarah JKOM baharu.


Beliau menambah setakat ini pelantikan bagi mengisi jawatan terbabit masih belum diputuskan dan tugas Ketua Pengarah JKOM dipangku oleh timbalannya.


Pada 25 September lalu, Fahmi mengesahkan Ketua Pengarah JKOM Mohd Khairuddin Othman telah ditamatkan perkhidmatan pada 24 September.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page