SEORANG GURU, PELAJAR SMK TULID SOOK POSITIF COVID-19
- Wartawan Nabalu News
- Jan 25, 2021
- 1 min read

25 Jan 2021
Oleh Anne Sham
KOTA KINABALU: Seorang guru dan seorang pelajar SMK Tulid Sook Keningau disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan di PKRC Keningau, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata, susulan daripada kes itu, 64 orang telah dikenalpasti sebagai kontak rapat dan kesemua mereka telah dikuarantin di IPG Keningau.
“Hasil siasatan awal menunjukkan kebarangkalian jangkitan ini merupakan jangkitan komuniti dan bukan jangkitan di sekolah,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan baru-baru ini mengenai sekumpulan pelajar di SMK Tulid Sook dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang guru yang disahkan posifit Covid-19.
Masidi berkata, hasil tindakan pantas Pejabat Kesihatan Keningau, semua kontak rapat yang berisiko telah dikenalpasti dan diasingkan daripada guru-guru dan pelajar-pelajar yang lain.
“Aktiviti disinfeksi setempat juga telah dilakukan pada 24 Januari dan tidak ada keperluan untuk membuat penutupan sekolah.
“Sesi persekolahan dibenarkan berjalan seperti biasa dengan pematuhan SOP yang ketat,” katanya.
Ketika ditanya sama ada guru-guru juga perlu menjalankan saringan sebelum balik ke sekolah ekoran kes itu, Masidi berkata, buat masa ini hanya pelajar yang menduduki peperiksaan umum (SPM dan STPM) diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum mereka kembali ke asrama.
“Namun begitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin mengingatkan para guru dan warga sekolah supaya sentiasa peka terhadap tahap kesihatan masing-masing dan berjumpa doktor untuk menjalani ujian saringan sekiranya bergejala.
“Pada masa yang sama, pematuhan terhadap SOP hendaklah diberi perhatian yang serius,” katanya.
Comments