Seorang kanak-kanak di Sabah disyaki alami hepatitis akut
Farah Salim

6 Mei 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki warganegara berumur 4 tahun 11 bulan di Sabah disyaki mengalami gejala hepatitis akut mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sabah pada Mac lalu.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kes ini mengalami gejala jaundis, demam, kurang selera makan, loya dan muntah.
“Dilaporkan fungsi hepar kanak-kanak ini semakin merosot sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac 2022 di sebuah hospital di Lembah Klang. Kanak-kanak ini telah discaj dari hospital pada 21 April 2022 dalam keadaan sihat.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak ini tidak mempunyai sejarah penyakit lain selain jangkitan SARS-CoV-2. Siasatan masih lagi dijalankan untuk menentukan sama ada kes ini memenuhi kriteria "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya",” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Khairy berkata, ibu bapa ataupun penjaga kepada kanak-kanak yang mengalami gejala berkaitan hepatitis akut seperti yang dinyatakan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
Katanya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau situasi kejadian "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya" (Acute Hepatitis of Unknown Aetiology) dalam kalangan kanak-kanak dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, pada 23 April lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui WHO Event Information Site (EIS) melaporkan kejadian "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya" berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu bulan hingga 16 tahun.
“Sehingga 21 April 2022, WHO menerima pelaporan sebanyak 169 kes melibatkan 12 buah negara. United Kingdom melaporkan bilangan kes tertinggi sebanyak 114.
“Negara lain yang turut melaporkan kes adalah Sepanyol, Israel, Amerika Syarikat, Denmark, Ireland, Itali, Belanda, Perancis, Norway, Belgium dan Romania. Setakat ini hanya satu kematian dilaporkan.
“Kejadian hepatitis akut yang dilaporkan ini dikategorikan sebagai "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya" kerana penyebab lazim hepatitis seperti virus hepatitis A, B, C, D atau E tidak dikesan melalui ujian makmal,” katanya.
Khairy berkata, selain itu WHO turut melaporkan bahawa sebanyak 74 kes dari 169 kes yang dilaporkan dikesan positif Adenovirus dan 20 kes dikesan positif SARS-CoV-2. Bagaimanapun penyebab hepatitis akut ini belum dapat ditentusahkan dan masih dalam siasatan.
“Dianggarkan 10 peratus daripada 169 kes yang dilaporkan ini memerlukan transplantasi hepar.
“Sehubungan itu, KKM telah mempertingkatkan survelan bagi hepatitis akut di semua klinik kesihatan dan hospital dengan menggunakan definisi kes yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan klinikal dan kesihatan awam. Protokol rujukan dan pengurusan kes "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya" sedang dibangunkan.
“Dalam pada itu, Pengamal Perubatan di Klinik Kesihatan Kerajaan dan Swasta diminta untuk merujuk kanak-kanak berumur satu (1) bulan hingga kurang dari 18 tahun yang menunjukkan gejala jaundis dan gejala lain hepatitis akut seperti hilang selera makan, loya, muntah, kelesuan atau air kencing berwarna gelap ke Hospital untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya.
Comments