Seorang lelaki didakwa kerana menipu urusan jual beli tanah
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

4 Julai 2025
KENINGAU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis, atas pertuduhan menipu seorang wanita dalam urusan jual beli tanah.
Walau bagaimanapun tertuduh Calvin Matius, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Flavian Edward.
Majistret Flavian menetapkan sebutan kes semula pada 4 Ogos depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000.00 dengan seorang penjamin tempatan.
Pendakwaan dilakukan oleh Asisten Supritendan Polis (ASP) Daniel Dominic mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 10 April lalu, kira-kira jam 10.12 pagi, mangsa telah melihat iklan penjualan tanah dengan harga yang murah melalui aplikasi facebook.
Tertarik dengan iklan tersebut, mangsa kemudian telah berhubung dengan tertuduh di talian telefon yang diberikan bagi membuat pembelian.
Mangsa telah berjumpa dengan tertuduh di salah sebuah Restoran Ngau Cap di sini bagi membincangkan urusan pembelian tanah tersebut.
Selepas perbincangan mangsa telah ditawarkan tanah berstatus NT berukuran 0.11 ekar di sebuah perkampungan sekitar Keningau dengan harga RM25,000.00 dan pengadu dimaklumkan bahawa penama Calvin Matius dan Sudirman merupakan pemilik tanah tersebut.
Mangsa telah berniat untuk membuat pembelian tanah tersebut dan dimaklumkan bahawa pengadu perlu membayar deposit sebanyak RM5,000.00 dan perlu membuat pembayaran jaminan rakan suspek (Sudirman) yang ditahan di Mahkamah Keningau disebabkan Geran Tanah berada dalam miliknya.
Mangsa telah bersetuju dan telah membuat 2 transaksi pembayaran iaitu transaksi pembayaran ke akaun e-jamin sebanyak RM1,500.00 dan pembayaran secara tunai sebanyak RM3,500.00 kepada tertuduh dengan disaksikan oleh suami pengadu dan penama Eric.
Mangsa merasa tertipu apabila dimaklumkan bahawa tanah yang ditawarkan kepada pengadu tersebut bukan milik penama Calvin Matius dan Sudirman setelah membuat semakan di Pejabat Tanah Keningau.
Comentarios