Setuju Pertembungan GRS - BN
- nabalunews
- Jun 14
- 2 min read

14 Jun 2025
KOTA BELUD: “Seperkara saya bersetuju dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin adalah membiarkan GRS dan BN bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang”.
Demikian tegas Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali ketika ditanya mengenai kenyataan bahawa kerjasama BN dengan GRS hanya akan dipertimbang selepas PRN.
Armizan berkata, pertembungan antara kedua-dua gabungan parti itu adalah pendekatan terbaik dengan menyerahkan mandat sepenuhnya kepada rakyat untuk memilih.

Katanya, langkah itu mampu mengelakkan sebarang dakwaan bahawa kemenangan sesuatu pihak hanya bergantung kepada kekuatan gabungan tertentu.
“Saya bersetuju dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa biarlah dalam PRN akan datang ini, GRS dan BN bertembung.
“Biarlah kekuatan parti yang bertanding disandarkan kepada sokongan rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tempasuk di Dewan Al-Arsad, Kampung Kaguraan, di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, hasrat Bung Moktar wajar dihormati tanpa membelakangkan kedudukan beliau sebagai pemimpin tertinggi UMNO Sabah.
“Semua pihak perlu tunaikan hajat Bung Moktar ini dan tidak ada sesiapa pun di mana-mana peringkat sekalipun wajar membelakangkan pendirian beliau sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang berautonomi,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, pendirian GRS setakat ini masih terbuka untuk meneruskan kerjasama parti-parti teras yang membentuk kerajaan negeri ketika ini iaitu GRS dan PH.

“Kita wajar hargai pendirian PH yang telah mengutamakan kestabilan dengan menolak Langkah Kinabalu dahulu, dan memilih untuk menyokong DSP Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri.
“Dan saya melihat hari ini kerajaan berjalan dengan amat baik melalui kombinasi kerjasama sedia ada. Saya fikir melihat kepada suara dan sentimen para pemimpin dan pendokong GRS di akar umbi, mereka memang mahu bertembung dengan BN,” katanya.
Comments