top of page

Shamsul Azri dilantik sebagai KSN baharu

  • nabalunews
  • Aug 7, 2024
  • 1 min read

07 Ogos 2024


PUTRAJAYA : Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu berkuat kuasa Isnin depan.


Perkara itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini.


"Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YBhg. Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa mulai 12 Ogos 2024 bagi menggantikan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 Ogos 2024," kata kenyataan itu.


Shamsul Azri yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam akan menggantikan penyandangnya, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang tamat kontrak pada Sabtu ini.


Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat dan turut menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom serta European Institute of Business Administration (INSEAD)


Shamsul Azri, 55, pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga pentadbiran kerajaan negeri.


Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).


Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan KSN.


Ia khususnya dalam usaha kerajaan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page