- nabalunews
Siasatan terperinci kes pemerdagangan manusia babit bekas timbalan menteri - Saifuddin
4 September 2024
TANAH MERAH: Siasatan berkaitan kes pemerdagangan orang yang dikaitkan dengan bekas seorang timbalan menteri akan dilakukan secara terperinci.
Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sehingga kini beberapa individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan.
Menurut beliau menerusi laporan yang diterima daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, polis sedang meneliti kesemua aspek dalam siasatan kes itu termasuk mengesan penulis artikel terbabit.
"Apabila semua pihak boleh memberi kerjasama, polis akan melengkapkan siasatan dalam tempoh yang munasabah," katanya.
Saifuddin berkata demikian selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah, Jabatan Imigresen Malaysia pada Rabu.
Mengenai jumlah individu yang dipanggil,
beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan siasatan lanjut kepada polis.
Media pada Selasa melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan sedang mengesan beberapa penulis artikel dari Indonesia untuk membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suami.
Polis turut mengesan seorang lelaki bergelar 'Datuk Seri' yang didakwa terbabit dalam jenayah itu untuk diambil keterangan.
Sementara itu, Mashitah menafikan ada kaitan dengan jenayah itu dan sudah membuat laporan serta memberikan keterangan di Bukit Aman.
Beliau juga tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang terlibat dalam dakwaan berkenaan.
留言