Sidang DUN minggu depan medan ujian kejujuran Wakil Rakyat perjuangkan hak-hak Sabah
14 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pelbagai pihak menyokong usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan Phoong Jin Zhe (Luyang) untuk mengemukakan usul pembatalan Perjanjian Petronas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah minggu depan.
Rata-rata mereka yang ditemui Nabalu News berpendapat, pentas DUN Sabah adalah medan terbaik untuk membahaskan isu-isu berkaitan hak Sabah yang didakwa satu kesilapan besar yang menyebabkan Sabah kini kehilangan autoriti ke atas sumber minyak dan gas.
Mereka juga berharap usaha dua wakil rakyat itu disokong oleh semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Dr. Peter Jr Naintin berkata, sudah tiba masanya membincangkan keputusan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan Sabah terdahulu.
“Inilah masanya kita meminta DUN untuk mendebatkan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Sabah ketika itu, di mana pada ketika ini tidak memberikan manafaat kepada wilayah kita,” katanya.
Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Joe Dominic pula berpendapat, usul itu perlu disokong oleh kerajaan Sabah.
Katanya, perjanjian itu mengundang pelbagai persoalan rakyat.
“Seluruh rakyat tahu bahawa pemimpin Sabah tidak mahu menandatangani perjanjian ini, namun perjanjian ini ditandatangan seminggu selepas tragedi 6 Jun 1976,” katanya dan menambah, tidak ada perbahasan di DUN sebelum mereka (pemimpin terdahulu) menandatangani perjanjian itu.
Beliau berpendapat, keputusan besar seumpama itu sepatutnya dibahaskan di DUN terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menandatanganinya.
“Apa lagi dikala beberapa kawasan, baru sahaja kehilangan wakil rakyat mereka dalam tragedi 6 Jun 1976. Tidak ada yang membawa suara mereka samaada bersetuju atau sebaliknya,” katanya.
Sehubungan itu Billy Joe berharap kerajaan sebulat suara menyokong usul yang bakal dibawa oleh Ewon dan Jin Zhe demi rakyat Sabah.
Aktivis Masyarakat, Dr. Rizoh Bosorang berkata, sebelum pembentukan Malaysia, Sabah merupakan sebuah wilayah berdaulat yang kaya dengan sumber hasil bumi, namun selepas lebih 50 tahun pembentukan Malaysia, Sabah menjadi antara negeri yang termiskin.
“Sekiranya, Sabah sendiri mengurus sumber hasil bumi seperti minyak dan gas, Sabah pasti tidak akan menjadi wilayah yang miskin, seperti yang kita lihat pada Negara Brunei ketika ini,” katanya.
Dr.Rizoh berharap semua pihak dapat menyokong usul yang bakal dikemukakan itu bagi mengembalikan hak-hak Sabah khususnya berkaitan pengurusan sumber hasil bumi seperti minyak dan gas.
Sementara itu Emmanuel Atin berkata, usaha dua pemimpin muda itu seharusnya disokong oleh wakil-wakil rakyat yang lain.
Sambil menyokong tindakan Ewon dan Phoong membawa usul ke sidang DUN Sabah, beliau berkata, ramai wakil rakyat kelihatan berjuang menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi sehingga kini tiada yang membawa usul pembatalan perjanjian itu.
“Tunjukkan kejujuran dan sokonglah usul yang bakal dikemukakan oleh YB Kadamaian dan YB Luyang,” katanya.
Sebelum ini, Ewon dan Jin Zhe menerima cabaran bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh untuk mengusulkan pembatalan Perjanjian Petronas di DUN Sabah.
“Kami menerima cabaran tersebut dan akan mengusulkan pembatalan Perjanjian Petronas pada sidang DUN pada 18 hingga 21 Julai ini.
“Kami berpendapat bahawa semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen berkaitan dengan hak-hak dan kepentingan-kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 haruslah terlebih dahulu diluluskan di DUN Sabah sebelum dikuatkuasakan.
“Jika ianya tidak diluluskan di DUN Sabah, maka akta tersebut seharusnya tidak boleh dikuatkuasakan di Sabah,” kata Ewon mewakili UPKO dan Phoong dari DAP.
Kebanyakan netizen di media sosial turut memberi komen positif dan menyokong usul kedua-dua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu.
“Satu tindakan yang berani oleh YB Ewon dan Ginger (Jin Zhe). Sebenarnya kita perlukan lebih banyak usaha yang sama seperti itu di peringkat perundangan untuk mencapai perubahan sebenar.
“Saya harap wakil-wakil rakyat di Sarawak juga boleh mencontohi usaha tersebut, tetapi nampaknya mereka kekurangan sesuatu,” kata seorang netizen menerusi ciapan di Twitter.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna media sosial berpendapat bahawa Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan rakan-rakanya seharusnya menyokong usaha tersebut.
“Jika mereka benar-benar mahu Sabah bergerak maju ke depan seperti slogan “Sabah Maju Jaya”, mereka harus menyokong usaha Datuk Ewon dan Ginger (Jin Zhe),” katanya.
“Inilah yang kita mahu. Sebenarnya mereka yang pergi ke London sepatutnya melakukan perkara seperti ini, tetapi tujuan mereka kononya untuk membuat ‘penyelidikan’ rupanya hanya satu pertunjukan.
“Saya tidak kisah mereka dari parti politik mana, jika mereka benar-benar ikhlas dan memahami perjuangan MA63. Ini yang patut dilakukan. Perjanjian dengan Petronas itu sepatutnya terbatal. Ia tidak pun dibincangkan di Dewan Undangan Negeri,” demikian antara komen-komen netizen di media sosial.
Comments