top of page

Simposium Sumber Manusia 2024 sasar selesaikan permasalahan syarikat perladangan

  • nabalunews
  • Nov 25, 2024
  • 1 min read



25 November 2024


TAWAU: Kira-kira 200 orang menyertai Simposium Sumber Manusia 2024 selama dua hari di Hotel Royale Borneo di sini, bermula hari ini yang antara lain bertujuan menyelesaikan permasalahan dihadapi syarikat-syarikat perladangan di daerah ini.


Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB), Datuk Abdul Karim Abdul Wahid berkata, kehadiran para profesional, pengurus dan pemimpin dalam industri perladangan bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman pada simposium tersebut, dijangka mampu meningkatkan kualiti pengurusan sumber manusia syarikat.


Menurutnya, program tersebut bakal membincangkan isu-isu berkaitan sumber manusia serta strategi untuk memantapkan lagi prestasi syarikat, melihat kepada peranan sumber manusia atau pekerja sebagai aset penting sesebuah organisasi.


"Dalam simposium ini, para peserta akan diberi peluang untuk mendalami pelbagai isu berkaitan sumber manusia, termasuk strategi pengurusan, pembangunan kemahiran, dan inovasi dalam bidang pengurusan sumber manusia.


"Mereka juga akan berbincang untuk menyelesaikan isu dan permasalahan bagi menambah-baik sistem sedia ada di syarikat masing-masing,"katanya lagi.


Tambahnya, perkara yang turut dibincangkan, termasuklah isu yang wujud dalam industri perladangan seperti kekurangan pekerja dan cara mengurangkan impak permasalahan tersebut kepada hasil dan prestasi syarikat.


Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Simposium Sumber Manusia 2024 tersebut yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif BWSB, Amran @ Ambran Pe’ang.


200 peserta simposium itu terdiri daripada kakitangan syarikat BSWB dan rakan-rakan strategik jemputan seperti syarikat perladangan, jabatan dan agensi kerajaan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page