Simulasi OPS Pengungsian Gunung Kinabalu Uji Kesiapsiagaan Agensi Penyelamat
- nabalunews
- Jun 6
- 2 min read

6 Jun 2025
RANAU: Latihan kesiapsiagaan amat penting dalam memastikan keupayaan agensi-agensi penyelamat dalam menghadapi bencana alam di kawasan berisiko tinggi seperti Gunung Kinabalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, latihan simulasi OPS Pengungsian Gunung Kinabalu bukan saja memperingati insiden gempa bumi tragis yang berlaku pada 5 Jun 2015.
Namun katanya, ia juga berperanan sebagai platform kesiapsiagaan menghadapi bencana di lokasi berisiko tinggi seperti Gunung Kinabalu.

“Latihan selama tiga hari itu melibatkan kawasan dari Panalaban hingga ke puncak Low’s Peak, Gunung Kinabalu yang melibatkan seramai 49 peserta berada di kawasan pergunungan dan 20 peserta di kaki gunung.
“Semua yang terlibat menyumbang tenaga dan kepakaran masing-masing dalam menjayakan simulasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan bersempena Majlis Peringatan Gempa Bumi Gunung Kinabalu 2025.

Antara yang terlibat dalam latihan ini ialah Taman-Taman Sabah (TTS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), KEPSAS, APM, Persatuan Malim Gunung, Persatuan Porter, Sutera Sanctuary Lodge (SSL), KOKTAS, Mountain Torq dan Sabapak Eco Berhad.
Mohd Pizar berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan latihan simulasi berkenaan.
Katanya, komitmen dan kecekapan yang ditunjukkan semuanpihak amat membanggakan dan akan menjadi contoh kepada pelaksanaan latihan-latihan seumpama ini pada masa hadapan.

“Peristiwa gempa bumi 2015 yang mengorbankan 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung serta mencederakan ramai yang lain mencetuskan perubahan besar dalam pendekatan keselamatan di kawasan Gunung Kinabalu.
“Latihan seperti ini menguji sistem koordinasi, komunikasi dan respons kecemasan antara agensi, selain mendidik komuniti setempat termasuk pengusaha pelancongan, malim gunung, porter dan penduduk agar lebih bersedia.
“Latihan sebegini perlu diteruskan secara berkala agar tahap kesiapsiagaan semua pihak kekal berada pada tahap optimum.
“Kita tidak boleh leka atau alpa kerana bencana tidak mengenal masa dan tempat. Teruskan komitmen menjadikan Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan unggul, tetapi kawasan yang selamat dan bersedia menghadapi apa jua cabaran,” katanya.
Comments