Skillfest wujud banyak peluang pekerjaan baharu dalam sektor ekonomi biru
- nabalunews
- Jun 19
- 2 min read

19 Jun 2025
KOTA KINABALU: Pelaksanaan program Skillfest mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dalam sektor berkaitan ekonomi biru, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, program Skillfest adalah antara usaha penting untuk memperkukuh latihan kemahiran dalam sektor ekonomi biru, merangkumi industri seperti marikultur, perikanan, tenaga laut, pelancongan marin serta penyelidikan dan pembangunan teknologi lautan.
Berucap merasmikan Ekonomi Biru Sabah Skillfest 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini, beliau berkata, program itu menyasarkan penyertaan seramai 2,500 peserta dan merupakan sebahagian daripada Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 Sabah, yang mana tahun ini menyasarkan lebih 67,000 penyertaan di seluruh negeri.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, kerjasama strategik antara HRD Corporation dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dalam penganjuran program ini wajar dipuji, kerana menyokong matlamat kerajaan untuk memperluaskan akses pembelajaran sepanjang hayat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, program ini juga merupakan kesinambungan kejayaan Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024, yang telah menarik perhatian global dan meletakkan Sabah sebagai pemain utama dalam ekonomi biru serantau.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan, dan berharap program sebegini diperluas ke seluruh negeri sebagai sebahagian daripada ekosistem pembelajaran berterusan.
Hajiji berkata, kerajaan Negeri terus meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama dalam menjayakan agenda ekonomi negeri, khususnya dalam meneroka potensi besar sektor ekonomi biru yang semakin berkembang.
Katanya, pendekatan ini penting bagi memastikan rakyat Sabah memiliki kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan tuntutan semasa, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi dunia.
“Dunia sudah berubah, dan kita juga perlu berubah. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada sistem lama. Justeru, modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi amat diperlukan untuk memacu pembangunan negeri.
Katanya, menerusi pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri terus merangka dasar-dasar pembangunan yang inklusif dan mampan dengan memberi keutamaan kepada peningkatan kapasiti rakyat dalam menghadapi era ekonomi baharu.
“Sabah kaya dengan sumber laut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan rakyat bersedia memanfaatkan potensi ini secara lestari dan berilmu,” katanya.
Menurutnya, sejak 2021 hingga 2024, sebanyak RM848.26 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri melalui empat saluran utama pendidikan, yang memberi manfaat kepada hampir 245,953 penerima.
Antaranya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah sebanyak RM227.1 juta yang memberi manfaat kepada 7483 penerima, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM324.1 juta (13,640 penerima), Bantuan Pendidikan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) berjumlah RM164.14 juta (210,918 penerima) serta bantuan dan pinjaman Yayasan Sabah sebanyak RM132.92 juta (13,921 penerima).
“Untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan lagi RM497.54 juta bagi meneruskan agenda pemerkasaan modal insan demi melahirkan generasi kompeten, berinovasi dan berintegriti,” tegasnya.
Comments