SKM Sumbang Set Kelengkapan Pengurusan Jenazah Kepada Masjid dan Surau
- nabalunews
- Jul 15, 2025
- 1 min read

15 Julai 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi sumbangan set kelengkapan pengurusan jenazah kepada masjid dan surau terpilih di kawasan Sepanggar.
Penyerahan sumbangan yang disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah SKM, Datuk Wong Thien Fook kepada jawatankuasa rumah ibadah Islam berkenaan adalah hasil kerjasama SKM dengan Persatuan Sukarelawan Inanam (PSI)
Setiap masjid dan surau menerima lima set kelengkapan lengkap yang merangkumi peralatan asas bagi tujuan pengurusan jenazah lelaki dan wanita seperti kain kafan, alat mandian, peralatan penyediaan dan pelbagai keperluan lain.

Wong berkata, sumbangan itu merupakan salah satu komitmen berterusan SKM dalam memperkasakan peranan institusi keagamaan.
Katanya, ia iuga bagi menyantuni keperluan asas komuniti melalui bantuan berbentuk peralatan dan kemudahan penting.
“Sumbangan ini dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat Islam dalam pengurusan jenazah secara lebih teratur, lengkap dan berhemah.

“Ia juga merupakan inisiatif prihatin yang bertujuan membantu menyediakan keperluan asas untuk urusan pengurusan jenazah secara percuma kepada penduduk setempat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Pengerusi PSI, Fardy Bungga berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada SKM atas keprihatinan dan sokongan dalam menjayakan usaha bantuan kain kafan kepada masjid dan surau di kawasan Sepanggar.
Katanya, sumbangan itu amat bermakna dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat khidmat komuniti, khususnya dalam pengurusan jenazah masyarakat setempat.

“Inisiatif ini selari dengan hasrat memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan sukarelawan dan institusi agama dalam menyantuni keperluan asas masyarakat secara berterusan,” katanya.


















Comments