top of page

SOP BERUBAH-UBAH KELIRUKAN ORANG RAMAI

  • Wartawan Nabalu News
  • Jun 8, 2021
  • 3 min read

Gambar Hiasan

8 Jun 2021

Oleh Marryan Razan dan Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Tatacara Operasi Standard (SOP) masa operasi sektor perniagaan dan perkhidmatan yang dikemaskini atau diubah beberapa kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan di Sabah cenderung mengelirukan orang ramai.


Kebanyakan mereka yang ditemui Nabalu News mengakui SOP yang tidak tetap bukan sahaja membingungkan para peniaga dan pekerja tetapi juga para pelanggan yang berada di luar bandar dan kurang mengikuti perkembangan semasa.


Seorang pengusaha di Kota Kinabalu William Liew berpendapat perubahan SOP yang kerap menunjukkan kelemahan kerajaan kerana tidak ada strategi yang kukuh.


“Ini tidak baik untuk ekonomi dan masyarakat, sebaliknya ia memberi tekanan kepada para pekerja yang bergaji harian dan juga kepada para peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga kecil-kecilan.


“Saya rasa SOP bukan sekadar mengawal waktu operasi perniagaan atau perkhidmatan, misalnya waktu operasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam sebaliknya ia harus menjadi ukuran jaringan keselamatan seperti mengehadkan jumlah pekerja dalam satu masa,” katanya.


Mengenai surat rentas daerah, William menyokong langkah kerajaan negeri yang akhirnya memutuskan supaya para pekerja perkhidmatan perlu tidak perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk rentas daerah semasa PKP.


“Sekiranya mereka (Kerajaan Negeri) membuat keputusan seperti ini dari awal pelaksanaan PKP 3.0 di Sabah, ia tidak menimbulkan kemarahan dan masalah semua pekerja.


“Syarat sebelum ini yang perlu memohon kelulusan daripada MITI bukan sahaja membebankan kementerian berkenaan tetapi semua pihak. Kerajaan hanya fokus pada penguatkuasaan atau menyiasat apabila menerima aduan atau kes Covid, kemudian menghukum mereka yang melanggar SOP. Secara peribadi, ini satu contoh kegagalan kerajaan mengurus negara,” katanya.


Sementara itu, seorang pekerja swasta dalam perkhidmatan perlu Vivian berkata, sepatutnya pengumuman menukar SOP dibuat pada waktu siang dan bukannya diumumkan pada waktu malam.


“Sebagai rakyat biasa, SOP yang ‘kelam kabut’ banyak kali ditukar, menunjukkan kerajaan tidak cekap mengurus sesuatu perkara penting.


“Kalau mau kemaskini waktu operasi sektor perniagaan dan perkhidmatan perlu pun umumlah masa siang (masa pejabat) dan bukannya diumum pada waktu malam di mana semua orang sudah tidur dan SOP itu pula berkuatkuasa serta merta. Para pekerja, peniaga dan pelanggan sendiri pun bingung,” katanya.


Seorang pekerja Food Panda Mohd Raffendi berkata, perubahan SOP yang dibuat beberapa kali sejak PKP 3.0 membingungkan orang ramai terutamanya mereka yang tidak mengikuti perkembangan semasa.


“Bukan semua orang mengikuti perkembangan semasa atau berita semasa … balik-balik ubah SOP membingungkan orang. Misalnya ada kedai yang masih ikut SOP lama padahal SOP baru sudah keluar.


“Kami yang penghantar makanan pun keliru sebab ‘order’ masih ada sedangkan mengikut SOP baru patut sudah tutup … ini menyebabkan kami kena kompaun kerana masih bekerja d luar tempoh yang ditetapkan,” katanya.


Mohd Raffendi mencadangkan kepada kerajaan supaya menetapkan pendirian dan menetapkan SOP dan tidak mengubahnya.


“Kalau cakap A, A lah ... jangan buat perubahan terlalu drastik, contoh berkuat kuasa serta merta … sebab ia menyusahkan orang, bagi lah tempoh sehari atau dua hari supaya maklumat itu benar-benar sampai kepada semua bagi mengelak kami dikenakan kompaun.


“Lagi satu, SOP jangan ada ‘double standard’ dan PKP 3.0 yang dilaksanakan ketika ini buat lah seperti PKP 1.0 bukan separuh-separuh masak. Apa yang saya lihat sekarang ini, bukan PKP, masih ramai orang jalan ke sana, ke sini sebab banyak betul sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi,” katanya.


Pekerja swasta, Nur Nadya Ariff berkata, SOP yang ‘balik-balik’ ditukar mengelirukan orang ramai.


“Setiap hari ada sahaja perubahan SOP, disebabkan SOP kerajaan negeri yang berubah-ubah membuatkan orang keliru dan ‘malas’ ikut. Sekejap boleh berniaga sampai jam 5 petang, sekejap sampai jam 6 petang dan kemaskini semalam boleh beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Saya harap selepas ini, ia tidak lagi diubah,” katanya.


Nur Nadya berkata, walaupun PKP tidak menjejaskan ekonominya kerana dia bekerja dari rumah tetapi ramai kawan-kawannya yang terkesan tiada kerja semasa PKP terutamanya yang bergaji harian.


“Saya mencadangkan agar kerajaan negeri melaksanakan ‘lockdown’ sepenuhnya dan menetapkan SOP yang telah dibuat,” katanya.


Sementara itu Alvin berkata, kekerapan kerajaan negeri mengemaskini SOP sedia ada dan menguatkuasakannya serta merta ‘menghuru harakan’ kehidupan pekerja yang terpaksa mengikuti arahan majikan.


“Bagi pekerja sektor swasta, pelaksanaan SOP yang baharu sekurang-kurangnya memerlukan pihak kerajaan mengeluarkan notis sehari sebelum tarikh pelaksanaan agar syarikat mampu membuat persediaan yang secukupnya untuk menyelaras sistem operasi sedia ada dengan SOP yang baharu.


“Kerajaan perlu memberi ruang kepada syarikat swasta bersedia sekiranya terdapat perubahan terhadap SOP sedia ada,” katanya.


Sebelum ini (6 Jun), Kerajaan Negeri telah menetapkan masa operasi perniagaan pada jam 9 pagi hingga 5 petang tetapi diubah lagi dua jam kemudian kepada 9 pagi ke 6 petang dan yang terbaru ini 7 pagi hingga 7 malam.



 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page