Spekulasi hidupkan Muafakat Nasional tidak jejas Kerajaan Perpaduan – Anwar
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

2 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Spekulasi Muafakat Nasional (MN) akan dihidupkan semula susulan ketegangan dalaman antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan yang kekal utuh ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu perpecahan yang berlaku adalah urusan dalaman parti-parti berkenaan dan tidak melibatkan beliau atau kerajaan.
“Saya tegaskan bahawa ura-ura itu tidak memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan yang kekal utuh ketika ini.
“Isu cerai-berai ini adalah urusan PAS dan Bersatu, bukan hal saya atau kerajaan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan setakat ini, belum menerima sebarang maklumat lanjut berhubung pembentukan MN sambil menegaskan ia merupakan keputusan parti masing-masing.
Dalam pada itu, Anwar berkata, fokus jentera kerajaan tidak terganggu dan kekal tertumpu kepada usaha memperkasa pertumbuhan ekonomi negara serta membela kebajikan rakyat.
"Yang penting sekarang, kerajaan Perpaduan masih utuh dan semua telah berikan ikrar mereka untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, pembelaan nasib rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.
Sebelum ini, terdapat gesaan daripada pemimpin UMNO dan PAS supaya MN dihidupkan semula susulan perkembangan politik di Perlis antara Bersatu dan PAS.
Pada 28 Disember lalu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta ahli dan penyokong UMNO supaya menghidupkan semula semangat MN sebagai asas perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).














