SSM umum empat inisiatif baharu perkukuh ekosistem perniagaan
- nabalunews
- 6 days ago
- 2 min read

16 April 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensinya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan empat inisiatif baharu bertujuan memperkukuhkan ekosistem perniagaan negara dan meningkatkan tahap kepatuhan korporat.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu diperkenalkan sempena ulang tahun penubuhan SSM ke-23 tahun ini yang bertujuan untuk mengurangkan bebanan dihadapi komuniti perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, inisiatif pertama ialah pengenalan perkhidmatan e-Advertisement SSM berdasarkan Seksyen 76A Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) (Pindaan) 2024.

“Melalui inisiatif ini, PLT yang ingin melaksanakan penggulungan secara sukarela kini boleh menyiarkan notis melalui platform e-advertisement SSM dengan bayaran hanya RM500.
“Ianya sebagai alternatif lebih murah bagi PLT dalam memenuhi keperluan statutori untuk pengiklanan atau penyiaran maklumat statutori syarikat yang sebelum ini hanya dilaksana melalui iklan surat khabar.
“Selain mengurangkan kos syarikat, inisiatif ini juga bertujuan menangani isu keterbatasan edaran akhbar fizikal yang tidak meliputi seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, inisiatif kedua ialah penawaran pengurangan kompaun sehingga 95 peratus daripada nilai asal dan pengurangan fi e-Advertisement SSM kepada RM100 bagi PLT yang layak, tertakluk kepada permohonan yang dikemukakan sebelum atau pada 30 Sep 2025.
“Inisitiaf ini khusus bagi permohonan penggulungan sukarela di Bawah Seksyen 50 Akta PLT 2012, melibatkan PLT yang tidak lagi beroperasi dan telah dikenakan kompaun dan ketidakpatuhan seperti kegagalan menyerah simpan Perakuan Tahunan," katanya.
Armizan berkata, inisiatif ketiga pula melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal bagi kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 1965 atau 2016 serta Akta PLT 2012 yang ditawarkan sehingga 30 Sep 2025.
Manakala inisiatif keempat, katanya merupakan penawaran pengurangan kompaun sebanyak 95 peratus daripada nilai asal kepada syarikat yang layak untuk memohon pemotongan nama mengikut Seksyen 550 Akta Syarikat 2016.
"Syarikat yang tidak lagi beroperasi atau tidak berhasrat meneruskan perniagaan serta telah dikenakan kompaun kerana gagal menyerah simpan Penyata Tahunan, Penyata Kewangan atau ketidakpatuhan lain, kini boleh memohon pemotongan nama dari daftar SSM sehingga 30 Sep tahun ini," katanya.
Dalam pada itu katanya, SSM juga akan meneruskan pelaksanaan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini antaranya seperti pelaksanaan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P).
Kommentare