SURUHANJAYA TENAGA TAMBAH BAIK SISTEM PENDAWAIAN 207 BUAH RUMAH DI RANAU
- Wartawan Nabalu News
- Mar 23, 2021
- 1 min read
Updated: Mar 24, 2021

23 Mac 2021
RANAU: Suruhanjaya Tenaga (ST) menambah baik sistem pendawian sebanyak 207 buah rumah di Kampung Lohan 1, di sibu, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial (CSR) mereka.
Pegawai ST telah memeriksa sistem pendawaian elektrik setiap rumah dan menambahbaik sistem itu melalui program “Touch Point”.
Selain pemeriksaan dan penambahbaikan sistem pendawaian elektrik, termasuk penukaran suis, soket dan Peranti Arus Baki (PAB), ST turut menekankan kepentingan pengujian PAB sekurang-kurangnya sebulan sekali kepada penghuni rumah berkenaan, bagi memastikan ia berfungsi untuk memutuskan litar sekiranya terjadi kebocoran arus.
Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah, Jefrey Nuri berkata, amat penting pemasangan sistem pendawaian di premis kediaman orang awam dipasang mengikut standard pendawaian yang ditetapkan oleh ST.
“Sebab itu, ST menasihatkan orang awam supaya menggunakan khidmat atau melantik kontraktor yang berdaftar dengan ST bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya semasa Majlis Penutupan Program Touchpoint bersama pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) di sini, pada Isnin.
Turut diadakan adalah taklimat ringkas mengenai keselamatan elektrik untuk penduduk setempat.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Mohd Hisyamuddin Harun turut hadir semasa majlis tersebut.
Program Touchpoint merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh ST bagi meningkatkan kesedaran orang awam tentang keselamatan elektrik, di samping membantu golongan tidak berkemampuan dalam memastikan pendawaian elektrik di premis yang mereka duduki berada dalam keadaan selamat.
Comments