Stesen minyak PCS kedua milik koperasi bakal dibina di Kapit
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Stesen minyak PCS kedua milik koperasi bakal dibina di Kapit

6 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KAPIT: Sebuah stesen minyak berkonsepkan portable container system (PCS) atau kontena mudah alih bakal dibina di Simpang 4, Kampung Sawang, Jalan Lepong Balleh kira-kira lapan kilometer dari Pekan Kapit.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata projek yang diusahakan oleh Koperasi Sungai Kapit Berhad (KSKB) ini merupakan stesen minyak PCS kedua milik koperasi di Sarawak.


Stesen minyak PCS pertama terletak di kawasan Bau-Lundu yang diusahakan oleh Koperasi Permodalan SALCRA Sarawak Berhad.


“Dengan pembukaan stesen minyak ini saya berharap ia bukan sahaja meningkatkan pendapatan koperasi tetapi juga turut memberi manfaat komuniti setempat khususnya penduduk di luar bandar untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel bagi menjana aktiviti ekonomi harian komuniti,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu kelmarin.


Ewon berkata kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan Tabung Modal Pusingan (TMPSKM) dengan had pembiayaan sehingga RM30 juta dan tempoh pembiayaan maksimum 25 tahun.


Berdasarkan statistik SKM Cawangan Sarawak sehingga 31 Dis tahun lepas, terdapat 1,159 buah koperasi di Sarawak dengan keanggotaan sebanyak 310,125 orang, manakala nilai aset koperasi sebanyak RM647.5 juta dan perolehan melebihi RM392.6 juta.


Di Kapit pula, sebanyak 36 buah koperasi berdaftar dengan keanggotaan sebanyak 5,902 orang dan memiliki aset bernilai RM2.85 juta serta perolehan mencecah RM4.9 juta direkodkan.


“Syabas dan tahniah kepada Koperasi Sungai Kapit Berhad atas kesungguhan menjayakan projek Stesen Minyak PCS ini. Diharapkan projek ini dapat dilaksanakan segera untuk kepentingan masyarakat sekitar yang memerlukan kemudahan penjualan petrol dan diesel di kawasan ini.


“Sebagai sokongan berterusan pembangunan ekonomi koperasi, Kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysis (SKM) bersedia membantu koperasi bukan sahaja dari segi khidmat nasihat tetapi juga dari segi penyediaan pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan (TMPSKM).


“Selain itu, SKM juga menyediakan geran bantuan Pembangunan Koperasi kepada mana-mana koperasi yang layak tertakluk syarat yang ditetapkan,” katanya.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa Haji Mohd Yahya Haji Mat Sahri, ketua-ketua agensi Kuskop Sarawak dan pemimpin setempat.

bottom of page