Suami Isteri Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM2,500
- nabalunews
- Jul 2
- 1 min read

2 Julai 2025
PENAMPANG: Sepasang suami isteri ditahan selepas didapati memiliki 50.5 gram syabu dalam operasi serbuan di Kampung Nosoob, Jalan Towering, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 4.30 petang itu, kedua-dua individu berusia 55 dan 54 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, sebaik ditahan, pasukan operasi menemui satu paket plastik lut sinar yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.

Katanya, dadah jenis syabu yang dirampas dianggarkan seberat 50.5 gram dan dianggarkan bernilai RM2,500 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Pihak polis turut merampas dua kenderaan dan wang tunai sebanyak RM1,800 daripada kedua-dua suspek.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.l yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang dari 12 sebatan.
Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 dan maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Sammy meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah atau dadah agar melaporkan kepada pihak polis.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan tampil ke Balai Polis berhampiran.
Comments