Sukan menginspirasi kesatuan dan kebersamaan, harus diterap dalam perkhidmatan kepada rakyat – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sukan menginspirasi kesatuan dan kebersamaan, harus diterap dalam perkhidmatan kepada rakyat – Ewon


Ewon bergambar bersama juara Sukan Tekun Nasional 2023.

18 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sukan menginspirasi kesatuan dan kebersamaan dikalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.


Sehubungan itu katanya, ia harus diterap dalam perkhidmatan kepada rakyat terutamanya pembangunan keusahawanan.


Katanya, kebersamaan dalam sukan dapat dilihat dalam mana-mana pertandingan atau kejohanan sukan peringkat dunia yang disertai pasukan Malaysia.


“Sebagai contoh, pertandingan akhir Piala Thomas pada 1992 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kaum, agama dan keturunan, semuanya bersatu hati menyokong dan berbangga dengan kemenangan pasukan Malaysia.


“Sokongan dan semangat itu menunjukkan sukan dapat menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Penutupan Sukan Tekun Nasional (SUKTEN) 2023, di Dewan MAKSAK Putrajaya, di sini, semalam.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri Suriani binti Dato' Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kuskop Datuk Zamri Salleh, Pengerusi TEKUN Nasional Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Dato’ Adam Abd Ghani, ketua-ketua agensi kementerian dan Tekun Nasional.


Ewon berkata, tahun ini adalah ulang tahun ke-60 penubuhan Persekutuan Malaysia dan dalam tempoh itu banyak kejayaan telah dicapai yang boleh dibanggakan oleh generasi hari ini antaranya kejayaan Tekun Nasional dalam pembangunan keusahawanan.


“Kisah kejayaan itu banyak bergantung kepada sejauh mana kita boleh bersatu padu dan bekerjasama … ianya boleh bermula daripada Sukan,” katanya.


Sehubungan itu beliau berharap SUKTEN, bukan setakat melahirkan juara sukan tetapi kejuaraan Tekun Nasional memberikan sumbangan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negara ini.


“Kejayaan untuk memajukan lagi negara kita dalam tempoh 60 tahun seterusnya dan tahun-tahun akan datang bergantung kepada kesatuan dan kerjasama kita sebagai satu pasukan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.


“Sebab itu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengesahkan kehadiran dalam sambutan Ulang Tahun ke-25 tahun Tekun Nasional pada 28 Oktober ini. Kesudian beliau hadir menunjukkan komitmen kerajaan yang mahu Tekun Nasional menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan dan kemajuan negara ini pada tahun-tahun akan datang,” katanya.


Mengenai SUKTEN, Ewon berharap sukan antara agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi memupuk semangat kebersamaan dalam keluarga KUSKOP.


“Ini kerana sukan adalah asas untuk membina kebersamaan bagi memastikan kemakmuran dan mencipta lebih banyak kejayaan negara kita pada masa akan datang.


“Saya juga menyokong penuh penganjuran program-program seperti ini kerana ia bukan sahaja menguji kekuatan mental dan fizikal, malah dapat memupuk sifat kerjasama di antara warga kerja Tekun Nasional,” katanya.


SUKTEN 2023 mempertandingkan 19 acara disertai 400 warga kerja TEKUN dari seluruh negara.


bottom of page