top of page

Sukan SEA 2025: Malaysia fokus prestasi atlet, elak tekanan sasaran pingat emas

nabalunews

5 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Sasaran pingat bagi kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA 2025 akan ditentukan secara bersama oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dengan keutamaan diberikan kepada prestasi atlet tanpa tekanan berlebihan untuk meraih pingat emas.


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan bahawa sasaran kali ini akan dibuat berdasarkan jumlah keseluruhan pingat, bukan warna pingat tertentu.


“Penetapan sasaran pingat akan ditentukan selepas ini secara bersama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia memandangkan pendaftaran akhir bagi atlet menyertai temasya tersebut masih terbuka sehingga bulan September ini.


“Penetapan sasaran pingat emas memberikan tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa nanti,” katanya dalam sesi Dewan Rakyat.


Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib, yang ingin mengetahui sasaran Malaysia dan persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu di Thailand, berikutan rombakan acara oleh tuan rumah.


Selain memastikan prestasi atlet berada di tahap terbaik, Hannah turut memberi tumpuan kepada aspek psikologi kontinjen negara bagi mengelakkan tekanan mental yang boleh menjejaskan pencapaian mereka.


“Kita telah menyediakan juga ‘psychologist’ di Institut Sukan Negara untuk membantu atlet.


“Salah satu latihan yang kita beri kepada mereka adalah tentang bagaimana atlet kita harus mengendalikan akaun media sosial sebelum pertandingan kerana ramai yang terkesan dengan komen daripada peminat. Jadi latihan itu sedang berlaku,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.


Langkah ini diambil bagi memastikan atlet Malaysia dapat mengekalkan fokus dan keyakinan diri, sekaligus mempamerkan aksi terbaik mereka di Sukan SEA 2025 tanpa dibebani tekanan luar yang tidak sihat.

Kommentare


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page