Sultan Ibrahim Lakar Sejarah, Agong Pertama Lawat Negara Rusia
- nabalunews
- Aug 2, 2025
- 1 min read

2 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim melakar sejarah apabila berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia pada 5 hingga 10 Ogos ini, atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir V. Putin.
Lawatan tersebut menjadikan Sultan Ibrahim, Ketua Negara Malaysia yang pertama melaksanakan Lawatan Negara ke Rusia sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada tahun 1967.
Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan berkenaan turut melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara.
"Lawatan itu bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada malah akan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagal bidang, termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat.
"Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut memainkan peranan signifikan mengeratkan kerjasama strategik dalam konteks Rusia sebagai Rakan Dialog ASEAN sejak 1996," menurut kenyataan itu.
Menurutnya, semasa di Moscow, Seri Paduka Baginda akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Kremlin serta mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden Putin, selain berkenan menghadiri Majlis Santapan Negara.
Selain itu katanya, Sultan Ibrahim turut berkenan melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) dan Hub Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.
"Selesai lawatan ke Moscow, Sultan Ibrahim turut berkenan untuk berangkat mengadakan lawatan ke republik autonomi Rusia dengan majoriti penduduknya beragama Islam, Kazan di Republik Tatarstan pada 8 Ogos ini.
"Di Kazan, baginda berkenan untuk menerima menghadap Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov dan berangkat mengadakan lawatan ke pusat pembuatan dan pemasangan helikopter," katanya.















Comments