Sultan Selangor tarik balik gelaran Najib, Rosmah dan Mohd Arif
- Farah Salim
- Sep 12, 2022
- 2 min read

12 September 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menarik darjah kebesaran tiga individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, turut ditarik balik darjah kebesaran adalah bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas baginda mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang, dan berunding dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.
“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian Najib sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 12 September 2022.
“Penarikan balik dan pembatalan keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVII dan XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan konvensi yang di amalkan di Selangor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Haris berkata, Najib telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992.
"Beliau telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd.
"Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," katanya.
Manakala, Rosmah pula dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.
Beliau telah didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.
Pada 1 September lalu Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Rosmah atas semua pertuduhan tersebut.
Sementara itu Mohd. Arif dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Datuk – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang membawa gelaran Datuk pada 2005.
Selain itu, beliau juga dikurniakan Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) Kelas Ketiga pada 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) Kelas Keempat pada 2001.
Mohd. Arif telah disabit dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah. Pada 23 Januari 2021 Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau.
Kesemua gelaran terbabit ditarik balik dan dibatalkan berkuatkuasa hari ini.
Bình luận