Suri rumah, kini bergelar usahawan sambal tuhau berjaya
- nabalunews
- Apr 19
- 3 min read

19 April 2025
KOTA KINABALU: Bermula dari kegemaran suami terhadap jeruk tuhau, seorang suri rumah kini mampu bergelar usahawan membekal produk makanan berasaskan tuhau yang berjaya.
Usahawan pengasas jenama QueYun Tuhau, Eriy Dusun, 46, berkata pada mulanya dia hanya membuat jeruk tuhau bagi memenuhi permintaan suami.
Namun katanya, makanan tradisi berkenaan akhirnya menjadi inspirasi untuk dia berjinak-jinak dalam dunia perniagaan pada tahun 2015.

“Pada awalnya, saya hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual jeruk tuhau kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan di pasar sekitar Tamparuli sahaja.
“Namun sambutan yang menggalakkan mendorong saya untuk menambah variasi produk seperti sambal tuhau udang, sambal tuhau ikan bilis, sambal tuhau ikan masin dan serunding tuhau.
“Jenama QueYun telah didaftarkan ®️ di bawah Perbadanan Harta dan Intelek (MyIPO) sejak 2017,” katanya ketika ditemui Nabalu News,baru-baru ini.

Usahawan yang berasal dari Tomis Jaya, Tuaran itu berkata, syarikat miliknya, QueYun Enterprise juga telah mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk Sijil Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah (Home-Based Food) dan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
“Saya juga sedang dalam proses untuk mendapatkan pensijilan HALAL daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meningkatkan lagi kredibiliti produk QueYun Tuhau dan seterusnya mencapai pasaran yang lebih luas,” katanya.
Eriy berkata, untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam keusahawanan, dia mengikuti pelbagai kursus selain belajar sendiri melalui rakan-rakan usahawan lain serta pembacaan buku mengenai perniagaan.
Sementara itu, ditanya mengenai bantuan dan bimbingan sepanjang tempoh berniaga, Eriy berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) antara agensi yang membantun mengembangkan perniagaannya ke tahap yang lebih baik.
Katanya, bantuan pinjaman mikro dan pembiayaan pemulihan perniagaan berjumlah RM10,000 daripada TEKUN digunakan untuk membina premis perniagaan yang siap sepenuhnya pada tahun 2021.
“Premis ini membolehkan saya meningkatkan hasil pengeluaran dengan ruang pemprosesan yang lebih luas, serta turut berfungsi sebagai ruang jualan,” katanya yang kini beroperasi di Kampung Nahirot, Tamparuli.
Selain itu katanya, geran bantuan peralatan seperti mesin pengisar dan pemotong daripada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah telah membantunya meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 2,000 paket sebulan.
Eriy juga merupakan usahawan bimbingan di bawah agensi Ko-Nelayan, Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (PELADANG), Jabatan Pertanian Sabah, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) serta Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Dari segi pemasaran, selain daripada jualan di ruang premis, Eriy juga kerap menyertai karnival usahawan yang memberinya peluang keemasan untuk mempromosikan jenama QueYun Tuhau, disamping meningkatkan hasil jualan.
“Dalam pada itu, saya juga memasarkan produk ke beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu, antaranya rangkaian kedai Mesra Petronas, Bataras Hypermarket, Kojasa Mart serta di kedai runcit berdekatan,” katanya.
Bagi memanfaatkan tren pemasaran digital, Eriy menyerahkan urusan pemasaran atas talian kepada anak perempuannya, Nurul Fatihah, 26, yang mengendalikan platform termasuk Facebook, Instagram, Shopee dan TikTok Shop.
“Syukur, hasil jualan meningkat dengan adanya platform digital.
“Jenama QueYun Tuhau kini dikenali bukan sahaja di Sabah dan Malaysia, tetapi juga telah menerima permintaan dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Korea Selatan dan Australia,” katanya.
Namun akui Eriy, perniagaan bukanlah suatu bidang yang mudah sebaliknya memerlukan kesabaran tinggi serta usaha berterusan tanpa mudah berputus asa.
“Cabaran paling besar ialah persaingan pasaran. Ramai pengusaha makanan berasakan tuhau lain, tapi saya yakin produk saya unik dari segi rasa dan kualiti.
“Saya juga harus memastikan standard pemprosesan sentiasa tinggi supaya sambal tahan lama dan rasa kekal konsisten,” akui usahawan itu.
Hasil dedikasi dan usaha gigih, Eriy pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Usahawan Terbaik Pusat Internet Putera Jaya 2017 (Wilayah Sabah), Anugerah Usahawan Sabah 2019 dan Usahawan Terbaik PEDi Negeri Sabah 2023.
Melihat ke hadapan, Eriy berharap produk sambalnya terus diterima pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus mengangkat makanan warisan Sabah itu ke peringkat global.
Comments