Suspek Kes Ugut Ditahan
- nabalunews
- 18 minutes ago
- 1 min read

16 Mei 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas mengugut mangsa menggunakan sebilah parang panjang dalam kejadian di Kampung Muhibbah Bal, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa yang bimbang akan keselamatannya tampil membuat laporan polis.
Katanya, susulan laporan polis diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau terus melaksa akan serbuan di lokasi.

“Susulan operasi berkenaan, seorang lelaki yang dikenalpasti terlibat dalam kes berkenaan terus ditahan untuk siasatan lanjut.
“Polis turut merampas sebilah parang disyaki digunakan semasa melakukan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, suspek dan barang rampasan terus dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, empat lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki senjata api dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Semarak, di sini, hari ini.
Jasmin berkata, semasa serbuan, polis mendapati empat orang lelaki mencurigakan berusia lingkungan 29 hingga 54 tahun di dalam rumah.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sepucuk pistol serta kelopak berisi peluru, beberapa butir peluru, sarung pistol serta sebilah pedang samurai berserta sarung di dalam rumah.
“Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali,” katanya.