Syabu 31kg dilupuskan di Tawau
7 November 2024
TAWAU: 31 kilogram dadah jenis Syabu bernilai RM1.5 juta, dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau, pada Selasa lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua dadah itu adalah hasil rampasan yang dilakukan oleh unit vesel peronda Zon Maritim Tawau bagi tahun 2022.
Menurutnya, proses pelupusan dilaksanakan selepas mendapat perintah Mahkamah untuk dilucut hak setelah barang kes selesai dibicarakan.
"Proses pelupusan ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui Insinerator yang diuruskan sepenuhnya oleh Cenviro Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan sisa buangan di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.
Shahrizan berkata, pemilihan kaedah tersebut adalah kerana proses itu adalah antara cara paling selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah berkenaan tanpa mencemarkan alam sekitar.
Tambahnya, ini merupakan kerjasama pertama pihaknya bersama syarikat swasta berkenaan untuk melaksanakan proses pelupusan mengikut prosedur ditetapkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Tawau akan terus meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan di sekitar perairan daerah ini.
Pihaknya, akan sentiasa menjalankan rondaan, khususnya di titik panas (hotspot) yang disyaki menjadi lokasi kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah, terutamanya di sempadan Malaysia - Indonesia.
Comments