top of page

SYARIKAT SWASTA, NGO DIGALAK BANTU TANGANI PANDEMIK COVID-19

  • Wartawan Nabalu News
  • Nov 23, 2020
  • 1 min read

Hajiji (tengah) menerima sumbangan daripada 99 Speed Mart, yang disampaikan oleh Lim Kok Wei.

23 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan lebih banyak penglibatan dan sumbangan syarikat-syarikat korporat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu menangani dan memerangi pandemik COVID-19 di negeri ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai syarikat dan NGO yang telah memberikan sumbangan dalam memerangi COVID-19 di negeri ini.


“Saya gembira kerana banyak syarikat korporat dan NGO tampil membantu dengan memberikan pelbagai sumbangan kepada rakyat yang terkesan dan terjejas teruk akibat pandemik ini.


"Saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih dan berharap kerjasama seperti ini akan berterusan,” katanya selepas majlis penyerahan Bantuan COVID-19 di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.


Hajiji menerima sumbangan daripada Yayasan MyPrihatin.

Hajiji berkata, dalam Perbekalan Tambahan Kedua 2020 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 16 November baru-baru ini, sejumlah RM375.12 juta (53 peratus) diperuntukan untuk menangani pandemik COVID-19.


"Sejumlah RM160 juta daripadanya diperuntukkan untuk Pakej Bantuan Prihatin COVID-19, kepada rakyat yang terkesan dan terjejas teruk,” katanya.


Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan RM50 juta menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membendung COVID-19 seperti pembelian peralatan perlindungan diri dan keperluan di pusat kuarantin serta rawatan COVID-19.


Pada majlis itu 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn.Bhd menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 dan Yayasan MyPrihatin pula menyampaikan sumbangan 5,000 unit PPE baju suit (coverall) kepada kerajaan negeri.


Pengurus Besar (East Malaysia) Speed Mart, Lim Kok Wei menyerahkan sumbangan itu, manakala Yayasan MyPrihatin diwakili oleh Ir.Rohan Ahmat.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page