top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi dinaikkan sehingga RM2 juta pada 2023: Ewon


Ewon (tengah) bersama Umar Sarim (dua dari kanan), Matias (kanan) dan pegawai daripada SKM.

31 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) akan dinaikkan sehingga RM2 juta pada tahun 2023.


Beliau berkata, bantuan kecemasan kepada koperasi yang terjejas teruk akibat bencana itu disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), satu daripada agensi di bawah kementerian itu.


“Jumlah itu adalah pertambahan daripada jumlah asal peruntukan sebanyak RM1 juta


“Oleh itu mana-mana koperasi yang terkesan dengan bencana alam boleh mengemukakan permohonan untuk bantuan ini mulai tahun depan,” katanya.


Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian mesyuarat agung tahunan koperasi itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad kali ke-4, di sini, hari ini.


Turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Umar Sarim Hj. Saidin, Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin, Pengerusi Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad Danial Sagun dan anggota-anggota lembaga koperasi.



Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, SKM terus menyediakan pelbagai kemudahan seperti, geran bantuan pembangunan koperasi sehingga RM300,000 dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) sehingga RM30 juta.


“Saya difahamkan, Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad ini juga turut menerima beberapa geran bantuan, antaranya Bantuan Program Pelan Pemulihan Ekonomi Koperasi (PULIH) Insentif Promosi Dan Pemasaran Sektor Ekonomi Utama (Pelancongan dan Penjagaan Diri) berjumlah RM8,000 bagi memperbaiki pondok rehat koperasi yang telah rosak akibat banjir.



“Bantuan Pembangunan Di Bawah Program Pengukuhan Koperasi (PPK) berjumlah RM100,000 bagi membiayai kos menaik taraf bangunan koperasi dan kini siap sepenuhnya,” katanya.


Beliau berharap bantuan itu dapat membantu koperasi membangunkan lagi aktiviti sedia ada dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan.



Comments


bottom of page