Tabung Justice for Zara dikendali Marhamah patuhi undang-undang
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

18 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kutipan Tabung Justice for Zara yang dikendalikan Marhamah Rosli sebelum menggalas jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mematuhi peraturan dan undang-undang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tabung bagi menampung kos proses inkues itu juga tidak menggunakan nama perseorangan termasuk Marhamah sendiri dalam proses kutipan sumbangan daripada orang ramai.
"Saya lihat penjelasan itu (Marhamah) agak tuntas berkait isu sama ada berkaitan dengan kempen Justice for Zara atau dana yang telah dikumpulkan.
“Dari segi peraturannya adalah mematuhi syarat-syarat dan telah mendapat persetujuan dan juga mendapat kelulusan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah,” katanya pada sidang media mingguan di ibu negara pada Khamis.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, nama Marhamah tidak tertera dalam akaun yang mengutip dana tersebut, dana itu juga diaudit.
"Saya tidak lihat isu ini akan berlarutan, cuma ada beberapa pihak yang menyerang beliau dalam media sosial. Jadi penjelasan yang beliau telah berikan itu saya rasa sudah memadai," ujarnya.
Semalam, Marhamah dilaporkan berkata bahawa tiada dana disalahgunakan dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara yang ditubuhkan untuk menampung kos proses inkues.
Katanya, dana tersebut diasingkan sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah beliau terajui, sebaliknya mempunyai penama tersendiri yang membabitkan ibu Zara Qairina Mahathir, beberapa peguam, serta jawatankuasa NGO.
Setakat 17 Disember, menurut Marhamah, kutipan dana mencecah RM254,995.92 dengan baki terkini RM96,059.97 selepas mengambil kira perbelanjaan, termasuk kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina sepanjang persiapan dan perjalanan inkues.
Dalam rombakan kabinet baru-baru ini, Marhamah dilantik sebagai senator bagi menggantikan senator Dr Zulkifli Hasan, yang menggantikan Datuk Mohd Na'im Mokhtar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).


















Comments