Taklimat Program PANTAS percepat Pemilikan Tanah
- nabalunews
- Feb 23
- 1 min read

22 Februari 2025
Oleh : Wartwan Nabalu News
KOTA BELUD : Program Pengukuran Tanah Anak Negeri (PANTAS) terus giat dilaksanakan bagi memastikan pemilikan tanah yang lebih teratur dalam kalangan penduduk Sabah.
Taklimat yang diadakan di Kampung Sayap, Kota Belud itu dipengerusikan oleh Penolong Juruukur Daerah Kota Belud, Pool Rumanti.
Sesi berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 150 penduduk setempat yang berminat untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai program ini.

Pool berkata, pelaksanaan PANTAS memerlukan permuafakatan dalam komuniti, kerana sebarang ketidaksefahaman boleh menjejaskan kelancaran pengukuran tanah.
Katanya, kesatuan dan persetujuan komuniti adalah sangat penting untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Menerusi taklimat ini, syarat-syarat pemohon yang layak untuk pengukuran tanah di bawah program PANTAS turut dijelaskan.
“Program PANTAS telah berjaya dilaksanakan di Kampung Kiau, menunjukkan keberkesanan inisiatif ini dalam membantu rakyat mendapatkan hak milik tanah dengan lebih cepat,” katanya.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod, Pegawai-pegawai jabatan Tanah dan ukur, serta pemimpin-pemimpin komuniti setempat.
Menurutnya, kejayaan ini diharapkan dapat diteruskan di Kampung Sayap dan kawasan lain di seluruh Sabah.
“Pelaksanaan program ini menjadi harapan ramai kerana ia memberi peluang kepada anak negeri untuk memiliki tanah sendiri secara sah.
“Dengan adanya pemetaan dan pengukuran rasmi, ia juga dapat mengurangkan kes pertikaian tanah dalam kalangan penduduk.
Untuk rekod, PANTAS merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk mempercepatkan proses pemilikan dan pengukuran tanah bagi anak negeri Sabah.
Program ini menerima peruntukan khas sebanyak RM20 juta setiap tahun daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, dan berada di bawah pemantauan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Comments