top of page

Taklimat Projek Bekalan Air Luar Bandar

  • nabalunews
  • Mar 18, 2025
  • 1 min read


18 Mac 2025


KOTA BELUD : Satu mesyuarat umum yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kaung Ulu telah berlangsung pada 15 Mac di Dewan Terbuka Kampung Kaung Ulu. Mesyuarat ini dihadiri oleh lebih daripada 40 ketua isi rumah serta pegawai dari Jabatan Kesihatan Daerah, termasuk Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kota Belud, Frilordnal Bongkihal.


Tujuan mesyuarat ini adalah untuk memberi pendedahan dan penerangan kepada penduduk setempat mengenai kaedah pembinaan Sistem Graviti Feed bagi projek bekalan air luar bandar. Projek ini merupakan salah satu inisiatif untuk memperbaiki kualiti bekalan air di kawasan luar bandar di Kota Belud, dan dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat di Kampung Kaung Ulu.


Sesi taklimat yang dikendalikan oleh Frilordnal Bongkihal bertujuan memberi kefahaman kepada penduduk mengenai pelaksanaan sistem graviti feed. Sistem ini lebih mesra alam dan berkesan dalam menyediakan bekalan air bersih tanpa bergantung kepada sumber tenaga elektrik.



Selain itu, dalam mesyuarat tersebut, JKKK turut mengedarkan Surat Aku Janji dan maklumat mengenai kemudahan asas kepada ketua isi rumah untuk tujuan dokumentasi pembinaan. Langkah ini diambil bagi memastikan setiap keluarga di Kampung Kaung Ulu dapat menikmati manfaat daripada projek bekalan air tersebut.


Kehadiran lebih 40 ketua isi rumah pada mesyuarat ini jelas menunjukkan sokongan penuh masyarakat terhadap inisiatif ini, yang diharapkan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk Kampung Kaung Ulu melalui penambahbaikan sistem bekalan air.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page