Tamu Badi Kiau 2025 Meriah, Eratkan Silaturahim, Jana Ekonomi Komuniti
- nabalunews
- Oct 4
- 1 min read

4 Oktober 2025
KOTA BELUD: Tamu Badi Kiau yang berlangsung pada 4 Oktober 2025 di Tapak Tamu Desa Kiau, Kota Belud berjaya menarik kehadiran lebih 150 orang yang terdiri daripada komuniti Kampung Kiau serta beberapa penjual dari luar kawasan.
Acara yang julung kali diadakan ini menjadi platform penting bagi komuniti tempatan untuk memasarkan hasil tanaman mereka secara langsung kepada orang ramai.
Selain bertujuan menjana pendapatan tambahan untuk penduduk, Tamu Badi Kiau turut berfungsi sebagai medium memperkukuh silaturahim dalam kalangan komuniti.

Penjual tempatan berpeluang bertemu dan bertukar pandangan dengan penjual luar, sekali gus menggalakkan pertukaran ilmu serta pengalaman dalam bidang keusahawanan kecil dan sederhana.
Pihak komuniti Kampung Kiau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Tamu Desa Kiau yang telah memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk meningkatkan ekonomi setempat. Kemudahan yang disediakan serta sokongan padu daripada pihak pengurusan turut menyumbang kepada kelancaran dan kejayaan acara tersebut.

Pengurusan kampung Kiau juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.11 Kadamaian, atas komitmen beliau dalam membangunkan premis Tamu Desa Kiau. Usaha ini bukan sahaja memajukan infrastruktur desa tetapi juga membuka peluang kepada komuniti luar bandar untuk terlibat secara aktif dalam kegiatan ekonomi.


















Comments