Tangani segera 16 projek 'sakit' di Sabah: Christina Liew
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tangani segera 16 projek 'sakit' di Sabah: Christina Liew



19 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, kerajaan perlu segera dan lebih proaktif menangani masalah 16 projek ‘sakit’ di Sabah,


Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau turut menggesa agar kerajaan memperhebatkan usaha menyelesaikan projek yang tertangguh secepat mungkin.


“Melalui laporan media, kita mengetahui ada projek ‘sakit’ sejak pertukaran kerajaan persekutuan pada Februari 2020.


“Bersikap telus dan dedahkan apakah 16 projek ‘sakit’ itu dan bila ia dijangka siap, demi kepentingan rakyat.


“Pihak berkuasa berkenaan seharusnya mengenalpasti apa punca masalah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, mudah-mudahan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.


Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini bahawa kerajaan sedang memantau 92 projek sakit di seluruh negara yang berlaku kelewatan melebihi waktu ditetapkan iaitu dalam tempoh dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual pelaksanaan.


Mustapa dipetik sebagai berkata, kesemua projek 'sakit' itu sedang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.


Sabah mempunyai projek 'sakit' dan bermasalah paling tinggi iaitu sebanyak 16 projek.


Christina berkata, kerajaan mesti menangani isu sebenar yang menghalang kelancaran pelaksanaan 16 projek berkenaan.


Mengenai kenyataan Mustapa bahawa, kerajaan telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memantapkan kriteria pemilihan dan pelantikan kontraktor serta perunding selain meningkatkan kemahiran penjawat awam dalam mengurus projek pembangunan negara, Christina berkata, kontraktor yang ingkar perlu “disenarai hitam” bagi mengelak masalah berulang.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page