Tarian tradisi etnik Cocos sambut Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Tawau
- nabalunews
- Aug 14
- 1 min read

14 Ogos 2025
TAWAU: Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang tiba di Kampung Balung Cocos disambut dengan makanan dan tarian tradisi etnik Cocos.
Menurut Ketua Komuniti Madani Kampung Balung Cocos Norhafizah Asmad, sajian dan tarian itu dipersembahkan adalah untuk memperkenalkan budaya etnik Cocos disamping mengekalkan tradisi warisan mereka turun temurun.
"Tujuan kami menghidangkan makanan dan tarian tradisi etnik Cocos adalah untuk memperkenalkan etnik kami dan warisan yang kami amalkan turun temurun.
"Ini adalah salah satu cara untuk kami mengekalkan jati diri warisan kami terutamanya di kalangan generasi muda yang bakal mewarisi budaya dan tradisi etnik kami ini," kata Hafizah.
Tarian Melenggok dan Dansa yang merupakan tarian tradisi etnik ini di persembahkan oleh Kumpulan PECOS yang dianggotai oleh 16 orang ahli dan diketuai oleh Latifah Hanim.
Dengan pakaian Baskad, tarian Melenggok tersebut hanya ditarikan oleh kaum lelaki dengan rentak dan tarian yang agak unik dan menarik, berbeza dengan tarian Dansa yang melibatkan kaum wanita yang memakai Kebaya.
Seterusnya para peserta konvoi KMJG 2025 dijamu dengan hidangan tradisi etnik Cocos iaitu ikan masak Berengkes, itik ataupun bebek masak rose dan pulut kuning ayam panggang yang kebiasaannya dihidangkan pada majlis kenduri kendara, sambutan perayaan mahupun perkahwinan.
Hidangan tersebut juga pernah dihidangkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan keenam belas Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa Kembara Kenali Borneo singgah di Tawau pada September 2023.


















Comments