top of page

Tarif 19 peratus dicapai tanpa jejas kedaulatan Malaysia

  • nabalunews
  • Aug 1, 2025
  • 2 min read

1 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Pengurangan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 kepada 19 peratus dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan Malaysia untuk mengekalkan dasar penting bagi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pengurangan tarif timbal balas itu merupakan pencapaian penting dalam proses rundingan Malaysia yang amat menyeluruh dan sistematik.


"Keberhasilan positif ini tercapai hasil daripada sesi libat urus berterusan antara kedua-dua negara melalui pelbagai platform dua hala dan mencerminkan tahap saling melengkapi yang tinggi antara Malaysia-AS dalam sektor perdagangan dan pelaburan selama lebih 60 tahun.


"Paling utama, pendirian Malaysia tidak berganjak bagi pelbagai perkara dalam rangkuman 'garisan merah'," menurut MITI dalam kenyataan hari ini.


Kementerian itu berkata, kadar 19 peratus itu secara kasarnya adalah setara dengan kadar tarif negara lain di rantau Asia Tenggara.


Semalam, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif bagi mengubah kadar tarif timbal balik ke atas beberapa negara.


Menerusi perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Rumah Putih pada 31 Julai 2025, tarif 19 peratus turut dikenakan ke atas Kemboja, Filipina, Thailand serta Indonesia.


Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan

AS itu mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berkekalan antara

kedua-dua negara.


"Ia juga mencerminkan kredibiliti Malaysia sebagai rakan kongsi perdagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai," katanya dalam kenyataan yang sama.


Beliau berkata, MITI akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memaksimumkan peluang daripada kadar tarif terbaru itu, didorong oleh momentum kukuh berdasarkan kadar pelaksanaan secara konsisten melebihi 85 peratus pelaburan yang diluluskan.


Selain itu, projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan serta inisiatif pembangunan negara berimpak tinggi turut menyumbang momentum tersebut.


"MITI kekal komited untuk mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia sambil memupuk perkongsian yang saling menguntungkan dengan pelbagai ekonomi utama, termasuk AS.


"Malaysia juga akan meneruskan strategi reformasi industri dan kepelbagaian pasaran bagi menyokong pertumbuhan negara," ujarnya.


MITI katanya, bersedia untuk terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS, iaitu pasaran eksport terbesar Malaysia bernilai RM198.65 bilion, serta sumber pelaburan asing terbesar dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM32.82 bilion pada 2024.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page