top of page

Task Force Bersepadu Ditubuhkan Bagi Menyelesaikan Isu Pelancongan Semporna

  • nabalunews
  • 53 minutes ago
  • 2 min read

ree

22 Disember 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), hari ini, memutuskan untuk menubuhkan Task Force Bersepadu bagi menangani secara menyeluruh isu-isu pelancongan di daerah Semporna.


Ia berikutan semua isu terkait telah memberi kesan langsung kepada imej, keselamatan dan kelestarian industri pelancongan negeri.


Menteri KePKAS, Datuk Jafry Arifin berkata, Task Force ini akan dikawalselia oleh Pembantu Menteri KePKAS, Dr Andi Rizal.


Katanya, laporan kemajuan akan dikemukakan kepadanya selaku Menteri setiap dua minggu sekali bagi memastikan tindakan yang diambil bersifat berfokus, berperingkat dan berakauntabiliti.


“Objektif utama Task Force ini adalah untuk menyelesaikan isu pelancongan Semporna secara tuntas, bukan sekadar reaktif, tetapi melalui pendekatan sistemik yang menyelaraskan peranan, bidang kuasa dan penguatkuasaan antara agensi berkaitan.


“Penubuhan Task Force ini adalah sangat penting memandangkan antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah ketidakselarasan punca kuasa antara MOTAC, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Jafry berkata, pihak turut mengenal pasti isu struktur tidak berlesen atau haram, keselamatan, kebersihan serta pengurusan infrastruktur pelancongan.


Katanya, pendekatan yang diambil adalah berteraskan prinsip "sit down together, we can work together", dengan penglibatan pelbagai agensi utama termasuk MOTAC, agensi penguatkuasaan, Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sabah), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.


“Begitu juga penglibatan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, ESSCOM, Tourism Malaysia Sabah, Pejabat Daerah Semporna, Taman-Taman Sabah serta agensi berkaitan yang lain,” katanya.


Sementara itu, Jafry menegaskan, Task Force itu diwujudkan bagi membina sistem tadbir urus pelancongan yang lebih tersusun, selamat dan berintegriti, di samping memastikan sekurang-kurangnya pihak MOTAC mempunyai asas yang kukuh dalam mempertahankan peranan kawal selia industri pelancongan.


“Saya ingin menegaskan kegagalan menangani isu ini akan memberi kesan besar kepada sektor pelancongan Sabah secara keseluruhan.


“Oleh itu, semua pihak diminta memberi komitmen penuh agar isu-isu ini dapat diselesaikan demi kepentingan industri dan rakyat.


“Sebagai langkah segera, tindakan ad hoc Task Force bermula hari ini, termasuk sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan di Semporna.


“Saya sendiri akan turun padang bagi memastikan isu-isu ini dapat disusun atur dan ditangani secara praktikal,”katanya.


Menurutnya, sebagai menteri bertanggungjawab, perkara yang tertangguh sebelum ini akan diteruskan dengan pendekatan lebih bersepadu, tegas dan berorientasikan penyelesaian demi memastikan industri pelancongan Semporna kembali stabil dan mampan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page